BERITA

Ibrahim Ali: 'Sebelum jumpa marah, kini dah jatuh cinta...'

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jul 2013, 4:03 petang

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) hari ini berkata penubuhan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (MIRAC) bukan atas cadangan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau sebaliknya berkata, cadangan serta perbincangan untuk bergabung bersama NGO kaum Cina dan India itu telah dibuat empat bulan yang lalu.

Dua NGO yang bergabung bersama dengan PERKASA dan membentuk MIRAC ialah Persatuan Cina Era Baru Malaysia (Percisma) dan Persatuan Amal dan Kebajikan India Baru (Perinbam).

"Hasrat (untuk tubuhkan MIRAC) sudah lama tapi sebab sibuk dengan pilihan raya jadi tergendala. Kita telah bincang tiga empat bulan dulu untuk tubuh MIRAC. Bukan selepas saya berjumpa Perdana Menteri," katanya dalam sidang media penubuhan MIRAC di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, dalam sidang media sama, Ibrahim juga berkata, gabungan bersama dua NGO tersebut juga membuktikan bahawa dakwaan sebelum ini yang mengatakan mereka sebuah kumpulan yang perkauman, tidak benar.

Beliau juga berkata, gabungan yang akan bermesyuarat seminggu sekali bagi membincangkan isu antara kaum itu juga akan terikat dengan piagam yang mengandungi lima perkara yang dipersetujui dan ditandatangani bersama hari ini.

"Sebelum ini terdapat persepsi yang kata PERKASA ini perkauman. Sekarang kita ada kawan yang akan terangkan bila perkara yang melibatkan kaum dibangkitkan. Asalkan tidak bertentangan dengan perlembagaan dan berpaksikan kepada rukun negara.

"Sebelum mereka (NGO) bertemu saya, mereka juga marah dengan saya.  Tetapi apabila mereka bertemu dengan saya, lima minit lepas itu mereka dah jatuh cinta," kata Ibrahim sambil ketawa.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.