Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno kritik filem didakwa agungkan komunis
Diterbitkan:  Jul 28, 2013 5:22 PM
Dikemaskini: Jul 29, 2013 12:56 AM

Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam mengkritik sebuah filem bertajuk ‘The New Village’ yang bakal ditayangkan bulan depan, yang didakwanya mengagungkan fahaman komunisme.

NONE Beliau ingin tahu bagaimana filem itu begitu mudah diluluskan untuk tayangan sewaktu filem ‘Tanda Putera’ yang berlatar belakangkan rusuhan kaum 13 Mei 1969 sudah berulang kali ditangguhkan tayangannya.

"Hanya kerana "Tanda Putera" menayangkan secebis babak

sejarah peranan DAP dalam mencetuskan peristiwa 13 Mei, filem yang sarat dengan sejarah pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Dr Ismail telah dipeti-sejukkan.

"Lebih memilukan, tiba-tiba pula filem "The New Village" secara halus mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai hero dan meletakkan Rejimen Askar Melayu dan polis yang ketika itu berkhidmat dengan British sebagai musuh dan 'orang jahat' yang perlu dihapuskan," katanya.

The New Village Beliau turut menuntut penjelasan kabinet di sebalik kelulusan

tayangan filem itu dan sebab sebuah "buku yang secara jelas cuba menyeleweng fakta sejarah dan menghasut rakyat dibiarkan bermaharajalela".

"Saya menyeru agar kabinet mengkaji semula dasar kerajaan berhubung penerbitan filem dan buku sedemikian rupa," katanya.

Beliau turut menggesa agar 'Tanda Putera' disegerakan tayangannya di pawagam.

The New Village ‘The New Village’, yang mengisahkan penempatan semula komuniti Cina sewaktu pencerobohan komunis, ditetapkan untuk tayangan umum pada 22 Ogos.

Sedutan filem itu memaparkan kisah cinta di antara seorang wanita Cina dan seorang pendukung fahaman komunis dan perbezaan di antara dua dunia mereka.

'Tanda Putera' pula dijadualkan untuk tayangan pada 29 Ogos, seminggu selepas filem itu ditayangkan.

Sementara itu, Bernama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendesak kerajaan menangguhkan sebarang tayangan filem 'The New Village' yang dilihat seolah-olah, cuba menghidupkan gerakan komunis di negara ini.

   

Timbalan Presiden GPMS Ezaruddin Abd Rahman berkata pihaknya turut meragui fakta yang terdapat dalam filem itu selain ia mungkin mempunyai agenda tertentu yang boleh memberi kesan buruk kepada generasi muda.

   

"GPMS menganggap ideologi komunis telah mati di negara ini. Kenapa filem ini dibenar ditayangkan kerana ia hanya akan memberi kesan psikologi kepada rakyat Malaysia untuk mendekati ideologi komunis," katanya dalam kenyataan hari ini.

   

GPMS turut meminta Kementerian Dalam Negeri melihat kandungan filem itu dengan teliti kerana ia membabitkan keselamatan negara.

   

Manakala di Kemaman, Bernama melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menilai kandungan filem 'The New Village' (Kampung Baru) yang bakal ditayang pada Ogos ini.

   

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada tayangan filem yang boleh memudarat atau mencetus pelbagai perkara negatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

   

"Bagi saya, kalau filem itu menggugat, memaparkan fahaman komunis serta perkauman, kita tidak ragu-ragu akan bertindak dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya supaya ia tidak ditayangkan," katanya selepas meraikan 120 anak yatim dan miskin dalam Parlimen Kemaman, yang dibelikan baju raya di sebuah pasar raya.

   

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata Finas boleh mengharamkan filem berkenaan jika terbukti menimbulkan semangat perkauman, dan orang ramai diminta agar tidak cepat menghukum 'New Village' hanya berdasarkan treler yang dipapar di YouTube.

   

Ahmad Shabery berkata jalan cerita filem itu perlu dikaji secara mendalam  bagi memastikan ia benar-benar bebas unsur negatif.

   

"Kalau kita belum tengok lagi dah haramkan, saya bimbang ia akan membantu untuk terus mempromosi filem atau apa-apapun kandungan yang lain kerana ia  tidak boleh ditayangkan di panggung wayang... tetapi banyak lagi kaedah lain seperti tayangan secara online.

   

"Saya bersedia dikritik dan berilah peluang pihak saya untuk tengok dulu, dan Finas akan kaji perkara ini," katanya.

ADS