BERITA

Kes upacara: Pemilik resort ditahan reman

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Ogs 2013, 7:29 pagi

Pemilik sebuah resort di Sedili Besar di Kota Tinggi direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau resort itu digunakan untuk upacara keagamaan penganut bukan Islam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.

Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia yang tiba pada pukul 9.30 pagi diiringi empat anggota polis hanya menundukkan muka ketika dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Sabtu lepas, perkampungan nelayan Sedili Besar gempar selepas bangunan yang didirikan di resort itu sebagai surau digunakan untuk upacara sembahyang penganut Buddha dan kejadian disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat Asar.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.