BERITA

Pemilik resort dibebas dengan jaminan polis

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Ogs 2013, 4:41 pagi

Pemilik resort di Sedili Besar dekat Kota Tinggi yang ditahan reman sejak Selasa lepas bagi membantu siasatan berhubung  surau di resort itu dibenarkan digunakan untuk upacara keagamaan Buddha, hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata kertas siasatan kes berkenaan sedang dilengkapkan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.

"Polis akan menunggu arahan lanjut daripada pendakwa raya dan dalam masa yang sama kita sedang memantau segala aktiviti dan juga reaksi orang ramai berhubung kes berkenaan," katanya kepada pemberita di Kluang hari ini.

Ismail yang mengetuai pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu turut mengesahkan berlaku satu kebakaran kecil di sebuah stor di resort tersebut, semalam.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah, namun pasukan forensik dan pasukan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan siasatan terperinci.

Katanya polis menyeru semua pihak supaya tidak bimbang dengan kes itu memandangkan ia berada dalam kawalan polis dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan Jabatan Agama Islam Johor untuk tindakan lanjut.

Akhbar sebelum ini melaporkan penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar, Kota Tinggi gempar apabila bangunan yang didirikan di resort itu sebagai surau dicemari upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang oleh penganut Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat Asar, pada petang Sabtu lepas.

Sehubungan itu, pemilik resort berkenaan, seorang lelaki berumur 45 tahun yang berasal dari Singapura dan mempunyai status penduduk tetap (PR) negara ini, ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya berakhir hari ini.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.