Seorang penyokong reformasi yang ditahan pada 15 April lalu dibenarkan ikat jamin RM500 atas tuduhan berkata kurang sopan kepada seorang pegawai polis.
Beliau dibebaskan tengah hari tadi dengan ikat jamin paling rendah berbanding 47 orang yang lain, termasuk dua wanita.
Lelaki dalam lingkungan 50-an itu didakwa mengeluarkan kata-kata "anjing kerajaan" kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Bakri Zinin.
Daripada jumlah yang ditahan, 32 orang dibebaskan di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan jaminan polis.
Seramai 15 orang yang lain dituduh di bawah Akta Polis kerana terlibat dalam perhimpunan tanpa permit. Semua mereka mengaku tidak bersalah.
Mereka dibebaskan setelah dibenarkan ikat jamin antara RM1,200 hingga RM3,000 tiap seorang.
Mereka mula dibicarakan berasingan beberapa bulan akan datang.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
Perhimpunan yang dikenali '14 Hitam' itu dianjurkan oleh beberapa pemimpin Pemuda Parti KeADILan Nasional sempena ulang tahun pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara.
Semua yang dihadapkan ke mahkamah magistret Kuala Lumpur itu dibicarakan di tiga bilik mahkamah berasingan.
Lebih 50 orang ahli keluarga dan penyokong menunggu di luar mahkamah.
Turut kelihatan memberikan sokongan termasuklah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda KeADILan Mohamed Ezam Mohd Nor, Ketua Penerangan Ruslan Kassim dan semua pemimpin parti itu serta seorang aktivis reformasi, Abdul Malek Hussin, yang dibebaskan semalam.
Tujuh aktivis pembangkang ini ditahan polis berhubung siasatan perhimpunan tersebut dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Sementara itu seorang lagi aktivis KeADILan, Lokman Noor Adam, masih tidak ditemui oleh polis. Percubaan kumpulannya untuk mengadakan perhimpunan di Masjid Nilam Puri, Kelantan selepas sembahyang Jumaat semalam gagal.
Seorang penyokong parti itu ditahan polis setelah didapati membawa pembesar suara (loud-hailer) di kawasan sekitar tempat yang dijadualkan diadakan perhimpunan tersebut.
Mereka asalnya merancang berarak ke Istana Negeri untuk menghantar memorandum rakyat. Acara itu dipercayai sebagai sambungan perhimpunan '14 Hitam.'
