Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Babak kencing adalah 'fiksyen', kata saksi 13 Mei

Satu babak dalam filem kontroversi Tanda Putera, di mana sekumpulan pemuda Cina kencing pada tiang bendera di rumah bekas menteri besar Selangor Datuk Harun Idris adalah satu "fiksyen" dan "mustahil" berlaku, kata seorang saksi rusuhan 13 Mei 1969.

NONE Ahmad Habib (duduk di sebelah kanan), yang ketika itu pelajar tahun dua ijazah pertama di Institut Teknologi Mara (ITM), berkata tiang bendera itu bukan sahaja berada di halaman yang dikawal rapi, malah menteri besar sendiri duduk di depan tiang tersebut.

Menurutnya, rumah menteri besar dikelilingi tembok batu dan kali pertama dia masuk ke halaman tersebut pada sekitar pukul 3 pagi (pada 14 Mei), ribuan orang sedang duduk atas rumput di depan tiang bendera itu.

"Duduk di hadapan tiang bendera adalah 'arwah' (Allahyarham Datuk Harun Idris) sendiri dengan selaras senapang patah. Beliau begitu letih, beliau duduk dan menggunakan senapang patah sebagai sokongan. Jadi tidak masuk akal (untuk mendakwa seseorang kencing pada tiang bendera)," kata Ahmad.

Ahmad berkata, beliau tiba di Kampung Baru, Kuala Lumpur, tempat terletaknya rumah tersebut, pada sekitar pukul 6 petang 13 Mei dan beredar kira-kira pukul 5 pagi pada hari berikutnya.

Ditanya kemungkinan kejadian itu berlaku sebelum dia masuk ke halaman tersebut atau selepas dia beredar, Ahmad berkata: "Bagaimana mungkin? terdapat begitu ramai orang di situ."

Ahmad tampil pada tahun lepas dan menyatakan bahawa Lim Kit Siang tidak pernah kencing pada tiang bendera itu semasa rusuhan 13 Mei.

Katanya, beliau tidak mengenali Lim secara peribadi tetapi sebagai seorang Islam, jika pembohongan disebarkan untuk menjejaskan maruah seseorang, maka "anda perlu bertegas".

Isu itu tercetus apabila gambar Lim dipaparkan di laman Facebook rasmi filem Tanda Putera dengan kapsyen: "Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah menteri besar Selangor ketika itu, Harun Idris".

Gambar dan kapsyen itu, yang dimuat dalam album " Peristiwa-peristiwa yang dimuatkan di dalam filem ini" kemudiannya dikeluarkan.

Pengarah filem Tanda Putera , Datuk Shuhaimi Baba, yang menegaskan filem itu dibuat berdasarkan dokumen sejarah dan temubual dengan saksi, kemudiannya dilaporkan berkata bahawa orang yang kecing pada tiang bendera itu, adalah bukan Lim.

[Baca berita penuh]

ADS