Operasi polis secara besar-besaran yang dinamakan 'Ops Padam' pada 14 dan 15 April lalu mempunyai motif politik. Operasi kawalan keselamatan yang ketat dan penangkapan tujuh pemimpin Parti KeADILan Nasional bermula dengan penahanan Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim, pada jam 3 pagi. Beliau ditahan oleh 14 orang anggota polis.
Kemudian diikuti penangkapan Penolong Setiausaha Pemuda parti itu, Gopalankrishnan Nagapan di Rantau Panjang, Kelantan pada jam 11:30 pagi. Sementara Ketua Pemudanya, Mohamed Ezam Mohd Nor ditahan di Sungai Petani, Kedah pada jam 2:30 petang.
"Bukti saya yang pertama bahawa tangkapan ke atas kami bermotifkan politik ialah apabila kami, ketujuh-tujuh pemimpin KeADILan, yang ditahan telah diletakkan bawah seliaan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan (BSJP)," kata Ruslan kepada malaysiakini petang tadi.
"Sepanjang tempoh (tujuh hari) itu juga, saya disoal-siasat hanya sehari."
Menjelang hujung minggu lalu yang dijadualkan berlangsungnya perhimpunan '14 Hitam' di Masjid Negara, ibu kota menyaksikan kehadiran anggota polis dari pelbagai unit dan kawalan keselamatan yang paling ketat dalam tempoh dua tahun bermulanya krisis politik yang mencetuskan 'gerakan reformasi'.
Semua laluan utama keluar-masuk ke Kuala Lumpur diawasi polis melalui sekatan-sekatan jalan raya. Sebahagian orang awam yang disyaki penyokong pembangkang diperiksa dengan lebih teliti.
Sementara di Melaka, tujuh ahli KeADILan ditahan menjelang petang hingga awal malam dan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, lima orang ditahan ketika sedang menaiki keretapi.
"Ops Padam mendapat arahan secara langsung daripada Menteri Dalam Negeri, demikianlah saya difahamkan," kata Ruslan.
Bekas tahanan ISA itu juga berkata mereka mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dan menteri berkenaan, Datuk Seri Abdullah Badawi kerana "menghasut rakyat agar mempercayai kami yang ditahan di bawah operasi itu minggu lalu berniat jahat untuk mengadakan rusuhan dan merancang perhimpunan bersenjata."
"Saya tidak didakwa atas apa-apa kesalahan. Saya cuma diletakkan bawah pengawasan polis," kata Ruslan, sambil menegaskan kerajaan menuduh Naib Presiden Tian Chua dan Ezam atas kesalahan-kesalahan lain, bukannya perhimpunan '14 Hitam,' untuk "mengelak (perasaan) malu."
