Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat M'sia didakwa hina bendera Indonesia
Diterbitkan:  Aug 30, 2013 11:17 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Seorang pengurus besar rakyat warga Malaysia berdepan dengan hukuman penjara jika terbukti bersalah menghina bendera Indonesia, berikutan gurauan yang tidak sesuai tentang bendera republik itu.

Menurut jurucakap polis Indonesia, Agus Rianto, Broderik Chin, yang bekerja dengan sebuah syarikat perladangan, PT Kreasi Jaya iaitu anak syarikat perladangan Malaysia, Kuala Lumpur-Kepong (KLK), didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan mengenai bendera Indonesia.

Pada 16 Ogos lalu iaitu sehari sebelum Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-68, Chin, dilaporkan berkata, bendera Indonesia itu boleh diganti dengan seluar dalamnya yang bewarna merah.

Beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan itu selepas seorang kakitangannya gagal mencari bendera Indonesia untuk dikibarkan sebagai menghormati Hari Kebangsaan negara berkenaan.

"Mungkin dia bergurau atau mungkin juga dia marah dengan kakitangannya kerana tidak mencari bendera. Keesokan harinya, sekumpulan masyarakat tempatan berhimpun di depan syarikat berkenaan menuntut dia memohon maaf," kata Agus.

Berikutan protes orang ramai itu, Chin akhirnya ditahan polis Dumai pada 21 Ogos lalu.

"Dia (Chin) akan didakwa di bawah Artikel 66 Undang-Undang 2009 berkaitan dengan bendera dan lagu kebangsaan serta bahasa," kata Agus.

Jika disabit kesalahan, Chin boleh dihukum penjara selama lima tahun atau dikenakan denda sebanyak Rupiah 500 juta (RM148,000).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS