Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penonton filem Tanda Putera menganggap babak pergaduhan kaum 13 Mei yang terdapat dalam filem Tanda Putera sebagai satu "fakta sejarah" yang perlu diambil pengajaran.

NONE Pendapat itu diutarakan Zaidi Sidek (kiri) , 33 tahun, yang ditemui selepas menontonnya di sebuah kompleks membeli belah Kuala Lumpur pada jam 11 pagi semalam yang hanya dihadiri kira-kira 12 penonton dalam pawagam itu.

"(Pada) 13 Mei 1969 itu saya pun belum lahir. Cerita ini berdasarkan fakta sejarah, kita tak boleh nak ubah (fakta itu)," kata pegawai kerajaan itu yang mengambil cuti hari ini untuk menonton Tanda Putera .

Beliau bagaimana pun berharap perkara itu ditinggalkan dalam lipatan sejarah dan dijadikan pengajaran untuk masa akan datang.

"Bagi saya isu rusuhan kaum ini tidak ada apa-apa yang perlu kita sorokkan," katanya.

NONE Tanda Putera yang sepatutnya ditayangkan sekitar bulan Ogos tahun lepas ditunda kepada Ogos tahun ini selepas beberapa kontroversi berkaitan babak-babak dalam filem itu.

Ia kini ditayangkan secara rasmi di pawagam-pawagam tempatan bermula semalam.

Antara babak yang dikaitkan dengan kontroversi filem tersebut ialah adegan rusuhan antara kaum Melayu dan Cina pada 13 Mei 1969.

Pelajar: Tonton dulu sebelum kritik

Adegan lain yang mendapat kecaman terutamanya daripada DAP dan MCA ialah babak beberapa orang pemuda Cina kencing di tiang bendera negeri Selangor di kediaman menteri besar Selangor pada ketika itu Datuk Harun Idris di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

NONE Selain itu, kerajaan Pulau Pinang pula 'menasihatkan' agar panggung wayang di negeri itu tidak menayangkan filem Tanda Putera kerana didakwa mempunyai adegan yang berunsur fitnah, berdasarkan pembohongan dan satu ancaman kepada keharmonian antara kaum di negara ini.

Selain itu, seorang pelajar, Mohd Haiqal Abd Aziz ( kanan ), 20 pula berkata, beliau menonton filem Tanda Putera pada hari pertama penayangannya adalah disebabkan rasa ingin tahu tentang cerita tersebut yang sebelum ini dilanda kontroversi.

Katanya lagi, setelah menonton filem tersebut, beliau meminta kepada mana-mana pihak yang sebelum ini memberi komen negatif kepada filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu supaya menontonnya terlebih dahulu sebelum mengkritik.

"Mana-mana yang beri komen bahawa filem ini perkauman patut lihat dulu sebelum komen. Tak tengok tapi komen kata filem ini hasut dan sebagainya," katanya.

NONE Sementara itu, ketika ditanya mengenai beberapa babak sensitif pada 13 Mei 1969 dalam filem tersebut, Hanim Bazira Mohd Taib ( kiri ), 29, seorang broker insurans pula berkata perkara itu merupakan sejarah dan perlu dipaparkan bagi memberi pengajaran kepada penonton.

"Tak ada benda pun. Sebab zaman (13 Mei 1969) itu kita tak ada. Kita nak tahu zaman itu.

"Kena tunjuk apa yang berlaku sebab itu memang sejarah. Bagi saya OK saja. Jadikan pengajaran sebab kontroversi perkauman itu memang berlaku. Kena bertolak ansurlah," katanya.

ADS