Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN   Lima puluh enam tahun merdeka dan 50 tahun selepas terbentuknya negara tercinta Malaysia, Umno masih berlagak macam "tiada Malaysia".

Baru-baru ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata daripada Umno Ahmad Bashah Md Hanafiah merangkap senator dan timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan mencadangkan laluan air Sungai Muda-Pulau Pinang disekat jika kerajaan DAP enggan membayar pada Kedah bagi mengambil air mentah dari sungai itu.

Perkara ini diulang-ulang tetapi Umno masih tidak faham bahawa Pulau Pinang mempunyai hak riparian untuk mengambil air dari Sungai Muda yang melalui sempadan negeri secara semula jadi.

Dan demi semangat perpaduan nasional, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta untuk berjumpa dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara ini.

Cadangan Ahmad Bashah menunjukkan bahawa Umno masih terperangkap dalam mentaliti sebelum merdeka.

Pertama sekali, Ahmad Bashah gagal menunjukkan sebarang semangat perpaduan antara dua negeri berjiran yang bernaung di bawah satu bendera Malaysia.

Keduanya, beliau berlagak seperti penjajah kerana hanya penjajah akan merompak hak rakyat dan mengeksploitasi sumber semula jadi mereka.

Umno memang sentiasa mengambil pendekatan zaman pramerdeka ini terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat, terutamanya melalui sabotaj urusan air di Selangor dan di Kelantan, sekali gus menyebabkan penderita rakyat di negeri-negeri tersebut.

Yang paling mengecewakan, Johor melayan Singapura lebih baik dari Umno melayan negeri-negeri Pakatan.

Johor sekian lama menjual air mentah pada harga yang teramat murah kepada Singapura dan kemudiannya membeli balik air terawat dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada negara jiran tersebut.

Justeru, sempena 31 Ogos, Hari Kemerdekaan dan 16 September Hari Malaysia, saya menyeru Umno, terutamanya kerajaan negeri Kedah supaya menegakkan semangat kemerdekaan dan jangan berlagak macam penjajah mengenakan tuntutan yang tidak munasabah terhadap rakyat Pulau Pinang.


Steven Sim Chee Keong ahli Parlimen Bukit Mertajam, pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY Malaysia dan setiausaha publisiti negeri, DAPSY Pulau Pinang.

ADS