Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Kerajaan PAS Terengganu membayar gaji penuh selama 90 hari kepada kakitangan yang bersalin seperti dijanjikan dalam manifesto parti itu pada pilihanraya umum November lalu. Kerajaan negeri itu juga menafikan laporan sebuah akhbar harian yang menyebutkan PAS "tidak tepati janji" kerana hanya mampu membayar gaji 60 hari bagi kakitangan wanita yang mengambil cuti bersalin.

"Walaupun tempoh 30 hari direkodkan sebagai cuti menjaga anak (cuti tanpa gaji), kerajaan negeri (Terengganu) bersetuju membayar gaji penuh," surat pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri bertarikh 3 April berhubung hal itu dipetik.

Surat yang ditandatangani Wan Nawawi Wan Ismail bagi pihak Setiausaha Kerajaan itu dihantarkan kepada malaysiakini hari ini bersama kenyataan akhbar menjelaskan laporan akhbar harian tersebut.

Akhbar Berita Harian semalam di halaman depan mengutip sumber pekeliling yang sama tetapi tidak menyatakan bahawa kerajaan negeri bersetuju membayar gaji penuh selama 90 hari.

"Kakitangan awam wanita di Terengganu yang mengambil cuti bersalin hanya akan dibayar gaji selama 60 hari, walaupun kerajaan negeri pimpinan PAS bersetuju memberi cuti bersalin 90 hari berkuat kuasa 1 April lalu," laporan itu dipetik.

Menurut akhbar itu lagi, kakitangan terbabit boleh menikmati cuti pada bulan ketiga untuk menjaga anak, "tetapi tidak dibayar gaji kerana tempoh itu akan direkodkan sebagai cuti tanpa gaji."

Menurut kenyataan akhbar daripada kerajaan negeri, istilah "cuti bersalin" bagi bulan ketiga dianggap "cuti tanpa gaji" kerana pentadbiran negeri itu masih memakai perintah am, Pekeliling Perkhidmatan Bil 2 Tahun 1998, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di peringkat kerajaan pusat.

Pekeliling kerajaan persekutuan itu hanya mewajibkan kerajaan membayar gaji penuh selama 60 hari walaupun seseorang kakitangan awam yang bersalin boleh mengambil cuti tambahan 30 hari lagi tanpa gaji.

Bagaimanapun, menurut pekeliling SUK Terengganu, kerajaan negeri itu masih membayar gaji penuh pada bulan ketiga dan dinamakan "elaun khas bersalin." Elaun khas ini dikeluarkan sebagai memenuhi janji parti dalam pilihan raya umum lalu dan ia tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Menurut sumber kerajaan negeri itu, kemudahan itu khusus kepada semua kakitangan jabatan-jabatan, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan di peringkat negeri sahaja.

Syarikat-syarikat swasta yang beroperasi di negeri itu tidak tertakluk di bawah skim kemudahan tersebut. Bagaimanapun, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha syarikat berkenaan sekiranya syarikat mahu memberikan cuti bersalin 90 hari.

Walaupun penambahan elaun itu diberikan oleh kerajaan negeri, langkah itu masih menepati peraturan-peraturan cuti bersalin kakitangan awam yang diluluskan oleh JPA kepada semua kakitangan kerajaan pada masa ini, kata sumber itu lagi.

Selain itu, pekeliling SUK itu juga memberi kemudahan cuti tanpa rekod selama tiga hari secara "automatik" kepada suami, seperti yang diamalkan di peringkat persekutuan dalam Perintah Am Bab C 26 (c).

Bagaimanapun, kerajaan PAS Terengganu bersetuju memberi cuti tambahan selama empat hari lagi sebagai opsyen.

Langkah Terengganu ini juga tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS