mk-logo
Berita
Rosmah sumbang RM515,000 pada Tabung Hari Pahlawan

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyumbang RM515,000 kepada Tabung Hari Pahlawan 2013, sekali gus menjadikan jumlah kutipan yang diperoleh sebaik dilancarkan malam tadi, sebanyak RM2.37 juta.

Rosmah yang juga penaung Kempen Tabung Hari Pahlawan berkata sumbangan yang dihulurkan itu merupakan hasil daripada jualan tanaman 'rock melon' di Seri Perdana yang diuruskan syarikat IRIS Corporation Berhad.

"Dana yang dikumpul akan digunakan untuk bantuan kebajikan kepada veteran dan keluarga mereka termasuklah balu veteran yang telah terkorban dalam mempertahankan negara.

"Saya berbangga atas sifat keprihatinan rakyat Malaysia tidak kira orang perseorang mahupun golongan korporat yang tidak jemu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Amalan ini harus ditanam dalam sanubari masyarakat dan perlu diteruskan," katanya ketika berucap melancarkan kempen itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia Laksamana Tan Sri Datuk Mohd Anwar Mohd Nor, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor serta Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Rodzali Daud.

Rosmah yang menjadi penaung kepada kempen itu sejak empat tahun lepas turut menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta pada tahun ini, bagi membantu perwira negara yang hidup menderita selepas bergadai nyawa mempertahankan tanah air.

Beliau berkata sambutan Hari Pahlawan 2013 kali ini jelas berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana pada tahun ini negara digemparkan dengan tragedi berdarah di Lahad Datu dan Semporna yang menyaksikan perwira negara terkorban serta cedera ketika mempertahankan kedaulatan negara.

Antara badan korporat dan persatuan yang memberikan sumbangan kepada kempen Tabung Hari Pahlawan 2013 ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (RM1 juta), MTU Services (RM300,000), Yayasan Veteran ATM (RM300,000), Affin Bank (RM155,000) dan IFMF Technology (RM100,000).

Tabung Hari Pahlawan berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM5.9 juta pada 2011 manakala pada 2012 kempen tersebut berjaya meraih kutipan sebanyak RM3.9 juta.

Hari Pahlawan mula disambut pada 31 Julai 1960 sebagai memperingati jasa pahlawan negara yang gugur serta tercedera ketika mempertahankan ibu pertiwi dan ia disambut setiap tahun bagi mengenang pengorbanan pahlawan negara.

-Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini