Polis menahan seorang 'tonto' yang cuba melanggar enam anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Pulau Pinang di Simpang Ampat, Nibong Tebal Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada tengah hari semalam setelah dapat dikesan kemudiannya dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Seberang Perai Selatan.
"Suspek ditahan reman bermula hari ini selama tiga hari untuk siasatan," katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, enam anggota penguat kuasa tersebut nyaris cedera dilanggar tonto berkenaan yang dipercayai diupah oleh satu sindiket menyeludup minyak subsidi ketika mereka sedang menjalankan operasi.
"Para anggota berkenaan telah menahan sebuah lori tangki milik sebuah syarikat di Sungai Bakap yang pemandunya sebaik memberhentikan kenderaannya telah melarikan diri.
"Ketika anggota KPDNKK memeriksa lori tersebut, sebuah kereta jenis pikap yang dipandu laju oleh seorang lelaki telah melanggar kereta milik salah seorang anggota penguat kuasa tersebut yang berada di bahu jalan berhampiran lori terbabit," kata Shafien.
Mengulas mengenai kejadian itu, Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengugut pihak berkuasa yang menjalankan tugas penguatkuasaan.
"Ini termasuklah mereka yang dipercayai terlibat dalam sindiket menyeludup minyak subsidi dan pemandu lori yang membawa lebihan muatan," katanya.
Beliau berkata pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kes pegawai penguat kuasa yang diserang ketika menjalankan tugas.
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pemandu lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 termasuk membawa muatan berlebihan.
SPAD memandang berat isu lebihan muatan membabitkan lori kerana ia amat berisiko tinggi dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain, katanya merujuk kepada tindakan 30 buah lori yang mengepung pegawai dan kenderaan SPAD di Gebeng, Pahang pada Rabu lepas yang dipercayai berlaku ekoran rentetan penahanan beberapa buah lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan.
- Bernama
