Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua kereta dihempap dinding penahan tanah
Diterbitkan:  Sep 11, 2013 9:06 PM
Dikemaskini: 11:37 PM

Dua buah kereta rosak selepas dinding penahan tanah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Perkampungan Berapit di Bukit Mertajam runtuh petang semalam.

    

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Perkampungan  Berapit, Ang Tun Kiat berkata runtuhan itu dipercayai berlaku ekoran hujan lebat beberapa hari lepas termasuk semalam disertai kemendapan struktur tanah di kawasan berkenaan.

    

"Nasib baik ketika kejadian pukul 5 petang itu tiada sesiapa di dalam kelas kerana semua murid telah tamat sesi pembelajaran," katanya dalam sidang akhbar du Bukit Mertajam hari ini.

    

ADUN Berapit Ong Kok Fooi pula berkata dinding berkenaan perlu diperbaiki memandangkan terdapat banyak rekahan di permukaannya.

"Penahan dinding ini dibina 10 tahun lepas. Kita tidak mahu membahayakan keselamatan murid," katanya.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang melawat lokasi kejadian pagi ini telah mengarahkan pihak pengurusan sekolah supaya menutup kawasan sekitar.

    

"Saya juga sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti dan membuat penilaian terhadap struktur bangunan sekolah itu sama ada turut terjejas dengan kejadian itu," katanya.

    

Beliau berkata sehingga penilaian JKR selesai, pihak sekolah diminta tidak menggunakan kelas untuk murid prasekolah yang terletak di tingkat dua.

Pemilik dua buah kereta tersebut Ng Yang Ghim, 51, berkata beliau menyedari tentang kejadian apabila terdengar bunyi runtuhan yang kuat.

"Saya yang berada dalam rumah terus berlari keluar untuk melihat apa yang  berlaku. Memang terkejut apabila mendapati runtuhan sisa konkrit menghempap kereta-kereta saya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS