Wanita Umno Sabah menyambut baik keputusan anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said membatalkan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
Setiausaha Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata keputusan itu mencerminkan kematangan Azalina dalam arena politik dengan mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
Sambil menyifatkan keputusan Azalina itu sebagai satu pengorbanan besar demi keutuhan pergerakan itu, beliau berkata pergerakan Wanita Umno Sabah amat mengalu-alukan keputusan itu.
Jainab yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azalina berhubung perkara itu di Johor Bahru, Johor kelmarin.
Azalina dipetik sebagai berkata bahawa beliau mengesahkan membatalkan hasrat bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Jainab berkata kesemua 25 bahagian pergerakan Wanita Umno Sabah menyokong penuh kepimpinan penyandang jawatan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Terdahulu, Menteri itu menyempurnakan penyampaian hadiah Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains 2013 peringkat Sabah dan Labuan, yang dimenangi SMK Tamparuli, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah di sini.
- Bernama
