Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh kes cetak rompak filem KL Gangster 2 disiasat
Diterbitkan:  Sep 14, 2013 6:57 AM
Dikemaskini: 11:06 PM

Tujuh kes cetak rompak sedang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat ini berhubung filem 'KL Gangster 2' yang dimuat naik dan disebar melalui Internet.

"Jumlah rampasan cakera padat video (VCD) yang diperoleh adalah sebanyak 57 keping secara keseluruhan iaitu di Langkawi, Kapit, Putrajaya, Kulim dan Melaka," kata Menteri KPDNKK Datuk Hasan Malek.

Beliau menjelaskan demikian dalam sidang media di Majlis Anugerah

Perkhidmatan Cemerlang 2012 dan Jamuan Makan Malam sempena sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di ibunegara hari ini.

Menurut Hasan, siasatan masih lagi berjalan dan dakwaan terhadap mereka yang terbabit boleh dikenakan dibawah Akta Hakcipta 1987 dan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010.

Jika didapati bersalah, denda RM2,000 boleh dikenakan terhadap setiap keping VCD yang dicetak rompak atau maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedau-duanya sekali.

Orang ramai turut diminta supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak membeli hasil cetak rompak kerana ia bukan sahaja tidak berkualiti malah membawa kerugian kepada penggiat industri tanahair seni sama ada filem, drama mahupun muzik.

Turut hadir pada sidang media itu ialah penerbit filem tersebut Datuk Yusof Haslam.

Yusof yang nyata kecewa dengan perkara itu berharap kerajaan tidak akan berkompromi dengan penjenayah yang melakukan kesalahan terbabit kerana tidak mahu perkara yang sama berulang lagi.

Laporan polis terhadap insiden filem tersebut dimuat naik di laman Internet telah dibuat pengarah filem itu Samsul Yusof pada 2 September lepas.

Dalam pada itu, majlis yang dihadiri warga kerja MyIPO itu turut menyaksikan 33 penerima menerima Anugerah Cemerlang 2012 dan 17 penerima Anugerah Perkhidmatan Lama iaitu berkhidmat lebih 25 tahun.

Selain itu dokumen Pelan Strategik ICT 2013-2017 oleh Perunding ICT, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zahari Othman turut diserahkan kepada Hasan bagi menggariskan hala tuju dan fokus ICT MyIPO bagi tempoh lima tahun akan datang.

- Bernama

ADS