Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Kita tidak apologetik dan tidak merasa bimbang...
Diterbitkan:  Sep 14, 2013 9:45 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuka lembaran baru dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) khususnya kepada masyarakat Bumiputera, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    

Timbalan perdana menteri berkata pengumuman itu sesuatu yang dinanti-nantikan kerana ia adalah respons kepada suara yang dikemukakan banyak pimpinan Bumiputera, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya bagi membela mereka dalam pembangunan ekonomi.

    

"Bagi saya hari ini cukup bertuah dan memang ditunggu-tunggu, kita tidak apologetik dan tidak merasa bimbang kalau-kalau pihak lain yang bukan Bumiputera atau masyarakat antarabangsa melihat ini sebagai sesuatu yang bersifat kumpulan tertentu.

    

"Bagi kita yang penting ialah agenda Bumiputera, ketegasan dan keberanian perdana menteri amat kita sanjungi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam hari ini.

    

Muhyiddin berkata lima fokus utama yang ditekankan dalam pemerkasaan itu memberikan gambaran betapa kerajaan sentiasa mengambil perhatian dan tumpuan khusus dalam tempoh tertentu terhadap agenda yang bersifat inklusif itu.

    

"Pembentukan beberapa badan termasuk Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipimpin perdana menteri dan saya sebagai timbalannya akan meningkatkan martabat perjuangan ekonomi Bumiputera kepada satu paras yang tinggi.

    

"Urusetianya akan dipimpin seorang yang berwibawa dan bertaraf menteri yang mampu untuk tentukan setiap agenda dapat dilaksanakan," katanya.

    

Muhyiddin berkata beliau juga yakin setiap agenda dalam pemerkasaan itu dapat dilaksanakan dan berharap agar penguasaan Bumiputera dalam semua bidang ekonomi akan meningkat dalam masa tujuh tahun menjelang 2020.

    

"Kita mahu masyarakat Bumiputera beri respons terhadap rancangan yang dibentangkan tadi, kita hendak melihat dalam tempoh singkat ini, peningkatan yang ketara dari segi pemilikan ekuiti, aset dan pembangunan modal insan (dapat dicapai)," katanya.

    

Kerajaan hari ini mengumumkan langkah dan strategi baru bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera, berpayungkan MEB, yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan sendiri Najib dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

    

Najib turut meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

    

Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

    

- Bernama

ADS