Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
VP PAS: Kenyataan Surendran bukan pendirian Pakatan
Diterbitkan:  Sep 17, 2013 4:30 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Naib presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini tampil dengan penjelasan bahawa kritikan naib presiden PKR N Surendran ke atas pelan pemerkasaan bumiputera bukanlah pendirian gabungan parti tersebut.

Salahuddin dalam satu laporan Berita Harian menyebut, kenyataan Surendran yang menyifatkan pelan tersebut sebagai satu usaha “rasis”  hanyalah pandangan peribadi pemimpin PKR tersebut.

"Setakat ini, Pakatan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pelan berkenaan kenyataan Surendran adalah bersifat peribadi dan tiada kaitan dengan Pakatan,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Katanya, Pakatan komited untuk mempertahankan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan – yang menjamin keistimewaan orang Melayu – tetapi tidak mengabaikan kebajikan kaum lain.

Turut senada dengan Salahuddin ialah pengerusi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Yusri Mohamad yang berkata pelan yang diumumkan kerajaan itu menepati perlembagaan.

Jelasnya, ia menepati perlembagaan yang memastikan agihan ekonomi dibuat secara adil di antara kaum di negara ini.

“Jadi tidak timbul istilah rasis atau tidak adil sekiranya Surendran benar-benar memahami konsep perlembagaan negara dan tidak mengaitkan perancangan berkenaan dengan politik,” katanya dalam laporan itu.

Surendran dalam kenyataannya pada Ahad lalu menyifatkan bahawa pelan ekonomi yang diumumkan perdana menteri itu “tidak munasabah, tidak mengikut undang-undang, perlembagaan dan rasis".

ADS