Dua syarikat yang dibentuk dan mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diambil alih oleh sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

NONE Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ( kiri ) berkata, bagi memastikan ketelusan, penilai bebas akan dilantik untuk menilai ATES dan Beta Tegap Sdn Bhd.

Katanya, tiada pihak akan mendapat faedah daripada pengambilalihan itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini, di tengah-tenga kebimbangan terhadap kemungkinan penyelamatan dua syarikat itu. Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hishammuddin berkata isu berkaitan AES hampir selesai dan operasi dan penguatkuasaan AES akan diumumkan kepada awam kelak dan sebuah syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd akan mengambil alih syarikat yang menguruskan AES sebelum ini iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

   

"Sehubungan itu, Kementerian Kewangan akan melantik sebuah firma audit bebas bagi memastikan harga yang dibayar dalam urusan pengambilalihan syarikat adalah adil dan munasabah dan dibuat secara telus dan adil bagi mengelak timbulnya tuduhan 'bail-out' kelak.

   

"Pengambilalihan syarikat ini merupakan jalan terbaik dalam meneruskan operasi penguatkuasaan AES bertujuan mengurangkan kadar kemalangan (dipasang di kawasan) yang dikenal pasti sebagai kawasan yang mencatatkan jumlah kemalangan yang tinggi," katanya.

   

Beliau berkata pihak polis akan menguruskan berkaitan penguatkuasaan, operasi dan pengeluaran saman AES manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertanggungjawab berkaitan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang membolehkan lesen memandu pesalah trafik digantung sekiranya gagal menjelaskan saman ataupun melakukan kesalahan berulang kali.

   

Selain itu, pihak polis telah bersetuju mulai hari ini semua operasi kamera penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diwajibkan meletakkan papan tanda amaran kepada pengguna jalan raya di kawasan operasi had laju, katanya.

   

Katanya kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk meletakkan AES di sekitar kawasan Genting Highlands, Pahang, yang dikenal pasti sebagai kawasan bahaya dan kerap berlaku kemalangan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu.

   

Beliau berkata AES adalah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat memandu laju.