Malaysiakini BERITA

Muhyiddin: RM20j pada McKinsey berpatutan

Ahmad Fadli KC  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

VIDEO| 1.05min

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bayaran berjumlah RM20 juta kepada perunding McKinsey and Co untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah berpatutan.

NONEBayaran itu mengambil kira kerja-kerja selama dua tahun untuk menyiapkan pelan itu, kata Muhyiddin yang menjelaskan ia turut mengambil kira pandangan pakar pendidikan luar negeri.

"Saya percaya itu satu kadar yang berpatutan sebenar pasal dalam mana-mana usaha yang kita buat pun, kita memerlukan beberapa pihak yang agak lebih pakar membantu.

"Dan saya nak peringatkan usaha yang kita buat itu satu usaha yang besar.

"Ia bukan satu perkara yang kita buat secara persendirian kerana kita buat konsultasi, kita ambil ahli-ahli panel peringkat antarabangsa, kita turun ke setiap negeri kita buat hari terbuka," jelasnya pada satu sidang media pagi tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan akan memberikan penerangan terperinci selepas kerajaan selesai membuat bayaran kepada McKinsey.

"Kalau diambil tempoh dua tahun untuk menjayakannya itu bukan satu perkara yang agak murah dan mudah.

"Apa-apa pun bagi pihak kita kadar itu agak berpatutan tetapi terperincinya akan kita jelaskan apabila kita telah selesaikan perkiraan apa yang kita perlu bayar dan sebagainya," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan persidangan undang-undang persaingan anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Parlimen semalam diberitahu Kementerian Pendidikan membayar firma Mckinsey and Co RM20.56 juta untuk menyiapkan dokumen tersebut.

Dalam reaksi segerea, Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menyifatkan langkah itu hanya membazirkan wang pembayar cukai.

Katanya, McKinsey adalah firma perunding pentadbiran umum yang didakwa tiada kepakaran khusus dalam bidang pendidikan, terutamanya apabila dibandingkan dengan pasukan petugas untuk projek itu.

"Setakat yang saya tahu, ini kali pertama perunding luar digunakan untuk mendraf rangka dasar pendidikan Malaysia dan dengan kos ini," kata Ong.