BERITA

MB mahu SPRM siasat kes bumbung masjid runtuh

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Sep 2013, 3:14 pagi

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebarang unsur rasuah melibatkan proses pembinaan masjid yang runtuh di Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata pihak kontraktor dan pembekal bahan binaan harus disiasat untuk mengesan sebarang penyelewengan dan sama ada pembinaan mengikut spesifikasi pihak berwajib.

"Insiden masjid runtuh hari ini harus diambil perhatian oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya). Ada yang tidak betul. Saya minta SPRM menyiasat sepenuhnya kes ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan Mardi di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata beliau akan mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.

Runtuhan ini katanya mencalar imej negeri Terengganu hingga ramai yang menggelarkan 'Terengganu Darul Runtuh'.

Dalam kejadian sekitar 4.00 pagi, bumbung dan siling masjid tersebut runtuh melibatkan kira-kira 20 peratus ruang solat terbuka masjid yang mampu memuatkan 1,000 jemaah.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.