Most Read
Most Commented
Read more like this

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) belum menerima banyak kritikan. Ia masih membekalkan harapan yang berbunga. Tetapi lambat-laun rakyat juga boleh hilang sabar dan akan mempertikaikannya.

Pandangan Suhakam dikritik hebat ketika ia mempertahankan hak berhimpun menjelang 8 Ogos lalu, hari bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman kes kedua.

Selepas itu, ia tidak banyak dikritik secara terbuka. Mungkin juga kerana sikapnya yang membisu selepas tarikh itu.

Suhakam diletakkan harapan yang agak tinggi apabila krisis kredibiliti melanda semua institusi tonggak negara ini - polis, kehakiman, parti Melayu dan media menjadi bahan kesinisan dan kemeluatan. Semua itu musnah apabila dibayangi kuku besi seseorang pemimpin.

Secara diam-diam orang bertanya, bagaimana sebuah organisasi "bebas" seperti itu diperbadankan oleh sebuah kerajaan yang melanggar hak asasi manusia, kalau bukan untuk damage control ?

Jika kemudiannya badan itu juga dikritik dan dipertikaikan seperti institusi-institusi lain, Suhakam harus menelan hakikat yang pahit ini.

Ketika pelantikan pesuruhjaya badan itu, dengungan tidak berpuas hati sudah mula kedengaran. Memang agak sukar mencari tokoh berwibawa di mata umum dan waktu yang sama dilihat "selamat" oleh kerajaan.

Sebagai sebuah organisasi yang bertindak mengikut garis panduan yang dikongkong akta penubuhannya, orang ramai melihat Suhakam tidak boleh bertindak lebih "liar" daripada itu. Lagipun, tidaklah logik penguasa melantik kumpulan yang akan meratah mereka sesuka hati, hujah mereka lagi.

Menyiasat sendiri

Tetapi akta dan kepemimpinan boleh juga terasing. Manusia memang kuat dipengaruhi oleh akta tetapi kadar keupayaan kepemimpinan Pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam dan will power Suhakam umumnya boleh jadi lebih kecil daripada lingkungan akta, peraturan dan norma (tidak bertulis) itu sendiri.

Misalnya, menurut seksyen 12 akta penubuhannya, Suhakam boleh bertindak sendiri menyiasat sesuatu perkara tetapi apakah Suhakam berbuat demikian?

Di sini, badan itu tidak mempunyai apa-apa alasan untuk melengah-lengahkan siasatan kerana bidang kuasa mengizinkannya.

Contohnya, apakah Suhakam segera menyiasat isu pengharaman beberapa penerbitan sejak Detik tidak diperbaharui permit pada Disember 1999. Kemudian disusuli pula akhbar politik mingguan Eksklusif (April lalu) dan majalah remaja bulanan Al-Wasilah (Ogos baru ini).

Kenapa pertemuan beberapa kerat wartawan bebas semalam diadakan selepas permintaan dibuat kepada badan itu, bukannya atas inisiatif Suhakam sendiri? Apakah badan itu tidak tahu-menahu tentang pengharaman itu?

Malang sekali jika badan itu tidak mempunyai daya mengumpul maklumat awam (yang sudah tersebar melalui media).

Kenapa pula pertemuan Suhakam dengan kumpulan pengarang dan penerbit kanan media arus perdana diberikan keutamaan dan didahulukan? Pelik, bukan?

Suhakam proaktif?

Sikap tidak cakna (istilah orang Terengganu, maksudnya, prihatin) seperti itu tidak ada kena-mengena dengan kongkongan akta atau sikap serta budaya politik pemerintah vis a vis Umno.

Kredibiliti dari aspek ini benar-benar bersifat "peribadi" semua pesuruhjaya, khususnya Musa.

Kepada rakyat Malaysia (seperti saya) yang memahami, menaruh harapan berbunga dan bersimpati pada Suhakam, saya nampak di sinilah punca kritikan terhadap badan itu akan bermula.

Yakni, kecaknaan, inisiatif dan keproaktifan Suhakam boleh dipertikaikan.

Dalam keadaan orang ramai tenggelam punca, tiada tempat bergantung, serta semakin hilang sabar dan organisasi itu pula dilihat "lembik", Suhakam tidak wajar menilai kewibawaannya daripada perspektif biasa.

Dan jika dikritik begitu kemudian hari, Suhakam harus berasa sedikit terganggu dan malu terhadap kegagalannya (jika berulang lagi) dari aspek ini.

Isu keduanya akan menyusul secara lebih menonjol: Sejauh mana Suhakam mampu melakukan active intervention untuk menegakkan keadilan bagi kes-kes pencabulan hak asasi yang perlu ditangani segera?

Di sini, sekali lagi, akan teruji kualiti kepemimpinan semua pesuruhjaya Suhakam: soal sense of urgency dan "kemahiran meyakinkan" kerajaan.

Tempoh dua tahun bukannya panjang dan laporan tahunan ke Dewan Rakyat bukanlah kerja utama Suhakam. Sekali lagi, soal kualiti kepemimpinan Suhakam - sense of purpose dan sense of priority pesuruhjaya - boleh menjadi saluran mengkritik Suhakam.

Organisasi ini harus terus hidup (dan disokong), beroperasi dan berjaya dalam suasana rakyat mudah mempertikaikan dan mencurigai apa sahaja yang datangnya daripada penguasa atau serambi kuasa.

Semuanya ini cabaran sebenar (suka atau tidak) yang dihadapi oleh semua pesuruhjaya Suhakam dan kepemimpinan Musa.


FATHI ARIS OMAR boleh dihubungi di [#1][email protected][/#]

ADS