Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2017: M'sia-China unjur dagangan dua hala AS$160b
Diterbitkan:  Oct 4, 2013 4:02 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Malaysia dan China mengunjurkan dagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah US$160 bilion menjelang 2017, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping di Putrajaya hari ini, mereka turut membincangkan program lima tahun membabitkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, serta bersetuju meningkatkan kerjasama strategik semasa Malaysia-China dalam "Perkongsian Strategik Komprehensif".

    

Perdana Menteri berkata China juga menyuarakan minat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi, selain Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou serta Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, yang memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

    

"Kami juga membincangkan kerjasama dalam perkhidmatan kewangan. Kami mahu melihat lebih banyak perdagangan antara negara diselesaikan menggunakan mata wang tempatan, Renminbi dan Ringgit," katanya pada sidang media bersama Xi selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya pagi ini.

    

"Maklumat perlu disebarkan kepada sektor swasta kedua-dua negara. Kami juga bersetuju supaya institusi kewangan di Malaysia dan China memain peranan yang lebih besar di kedua-dua negara," katanya.

Xi dan 100 anggota delegasinya tiba di Malaysia semalam untuk lawatan tiga hari, dan kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di Kuala Lumpur petang ini, yang bermatlamat mempromosi dan meningkatkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan China.

    

Najib berkata Presiden Xi juga menyebut beberapa bidang baru kerjasama kedua-dua negara, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi, sains dan teknologi angkasa.

    

"Kami juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang, menangani jenayah merentas sempadan, keselamatan siber, selain kerjasama ketenteraan yang lebih kukuh dan mendalam.

    

Sementara itu, Najib berkata perhubungan sesama penduduk kedua-dua negara sangat penting, memandangkan Malaysia dan China akan menyambut ulang tahun ke-40 jalinan diplomatik, tahun depan.

    

Najib berkata Xi mencadangkan lawatan 100 belia dari Malaysia ke China manakala China menghantar kumpulan kebudayaannya ke Malaysia.

"Kerajaan China dan Presiden juga sangat baik hati dengan menjemput saya melawat China, dan saya tidak sabar lagi untuk mengunjungi China dan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan yang penting dan kukuh ini," katanya.

    

Najib berkata kedua-dua pemimpin juga bersetuju menubuhkan pejabat Konsulat Jeneral di Kota Kinabalu, Sabah, dan Pulau Pinang, manakala Malaysia juga akan membuka pejabat di Nanning.

   

Beliau juga berkata kedua-dua mereka juga bersetuju bekerja rapat dalam konteks serantau dan pelbagai hala, dan dalam hubungan ini, kerjasama antara China-Asean dan Asean-China sangat penting.

    

"Saya berterima kasih kepada Presiden yang mengutamakan hubungan China dan Asean. Kami menyokong penuh cadangkan beliau mengenai penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, yang pastinya akan membantu dalam pembangunan Asean," katanya.

    

Najib turut menyuarakan harapan supaya penubuhan kampus luar negara pertama Universiti Xiamen di Malaysia, menjadi kenyataan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS