Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Jangan sampai berpecah dalam isu kalimah Allah
Diterbitkan:  Oct 17, 2013 3:04 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam The Herald demi menjaga keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    

Beliau menjelaskan selaku pihak yang terlibat dalam proses rayuan itu, kementerian tidak melihat kepada aspek undang-undang semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada sensitiviti umat Islam di Malaysia.

    

Sehubungan itu, katanya semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.  

    

"Kita harus menghormati antara satu sama lain dalam soal pegangan agama," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama malam tadi.   

    

Ahmad Zahid juga berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak mewujudkan perpecahan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

    

"Jika ada ketidakpuasan hati di pihak berkenaan untuk bawa ke Mahkamah Persekutuan, itu adalah hak mereka. Bagi saya itu adalah proses undang-undang tetapi daripada segi keselamatan, kita tak mahu ada perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam," katanya.

    

Isnin lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam versi bahasa Malaysia penerbitan itu.

- Bernama

ADS