Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham adakan pertemuan tertutup dengan Wanita Umno
Diterbitkan:  Oct 17, 2013 8:46 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno Sabtu ini mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam dengan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan barisan kepimpinan pergerakan itu hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Shahrizat berkata calon yang ingin merebut jawatan naib presiden perlu memenuhi kriteria mampu mempertahankan kedaulatan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

    

Ketua Wanita Umno itu berkata tiga faktor tersebut merupakan indikator yang ditetapkan dan diambil kira oleh pergerakan itu dalam membuat pilihan, memandangkan enam calon yang menawarkan diri memiliki keistimewaan tersendiri.

    

"Pada saya, enam calon yang menawarkan diri mempunyai keistimewaan masing-masing tetapi fokus Wanita adalah kepada faktor iaitu sesiapa yang boleh menentukan kedaulatan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat akan menjadi pilihan... itu mesej yang dibawa oleh Wanita Umno Malaysia," katanya dalam sidang akhbar itu di Petaling Jaya yang turut dihadiri Hishammuddin.

    

Ditanya sama ada kenyataan itu menunjukkan Wanita Umno mahu mengekalkan status quo tiga naib presiden sedia ada, Shahrizat berkata kenyataan itu adalah adil kepada semua calon, malah menghormati pendirian setiap perwakilan yang akan mengundi.

    

"Cuma saya selaku Ketua Wanita ingin tegaskan bahawa kami fokus dalam memilih pemimpin yang mana kita perlu ada sebab dan alasan mengapa kita memilih seseorang pemimpin, dan pada kami tiga faktor itu amat penting," kata Shahrizat.

    

Selain Hishammuddin, turut akan mempertahankan jawatan naib presiden ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    

Turut bertanding jawatan itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

    

Berhubung isu 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang pada pemilihan Sabtu lepas meletak jawatan semalam, Shahrizat berkata setakat ini Umno pusat belum menerima laporan rasmi mengenai perkara itu.

    

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terlibat menghantar surat bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

    

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, memuji kematangan barisan kepimpinan Wanita di bawah pimpinan Shahrizat yang disifatkannya sebagai cukup berani dalam menyuarakan pendapat demi perpaduan parti melebihi kepentingan diri.

    

Beliau juga yakin Wanita Umno di bawah teraju Shahrizat, mampu bergerak lebih lancar bersama pucuk pimpinan parti untuk berhadapan dengan apa juga cabaran.

    

"Selepas pemilihan ini, orang tak boleh lagi pertikai kekuatan, kesatuan dan keyakinan Wanita dalam melakukan sebarang gerakan," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS