Bekas pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini daripada tuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu 'Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor lima tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Azhaniz Teh turut memerintahkan supaya wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin.
Mohd Yahya, 47, didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Bandar Sunway dekat Shah Alam pada 14 Mei 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Disember 2010, Azhaniz Teh melepas dan membebaskan Mohd Yahya daripada pertuduhan sama tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada Julai lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Mohd Yahya membela diri selepas membenarkan rayuan itu.
Pada 20 Mei 2011, Mohd Yahya dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan menipu bagi mendapatkan sumbangan Majlis Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat selepas hakim Azhaniz Teh berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada 27 Jun lepas, Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan ke atas Mohd Yahya selepas membenarkan rayuan itu.
Abdul Alim bagaimanapun membenarkan permohonan Mohd Yahya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mohd Yahya dituduh menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi menampung pembiayaan majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di Shah Alam pada 4 Jun 2008.
Tertuduh, selaku pengarah program acara itu, dituduh dengan curangnya mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan RM50,000 kepadanya sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazah Kasran sementara Mohd Yahya diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan T.Suresh.
- Bernama
