BERITA

NGO beri amaran pada mubaligh Kristian

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Okt 2013, 11:33 tengahari

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memberi amaran kepada kumpulan mubaligh Kristian tertentu agar tidak cuba mengeruhkan hubungan di antara Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia susulan pengharaman kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman menggesa bumiputera Sabah dan Sarawak agar tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan terbabit.

abdullah zaik pembela seminar on islam under seige"Justeru, kita perlu persoalkan adakah golongan itu mendokong kontrak sosial sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara?

"Atau mereka ada agenda lain melangkaui perkara tersebut?" soalnya dalam kenyataan beliau.

ISMA sebelum ini mengumumkan yang mana-mana individu yang tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian agar meninggalkan Malaysia.

Bagaimana pun, beberapa penduduk Sabah dan Sarawak memahamkan pengumuman itu sebagai satu seruan agar Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia.

Abdullah Zaik menafikan perkara itu dan menyalahkan kumpulan mubaligh tertentu yang didakwanya menyebarkan salah faham tersebut.

"Saya tidak berkata sedemikian. Sebaliknya saya menyeru kepada kerukunan hidup bernegara berasaskan penerimaan terhadap asas-asas kenegaran seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Antaranya Islam sebagai agama persekutuan, menjamin hak kepentingan Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dan juga sultan sebagai ketua negara dan negeri yang juga merupakan ketua agama Islam di negeri dan Wilayah Persekutuan," katanya.

Pemimpin Kristian di Sabah dan Sarawak yang telah lama menggunakan kalimah 'Allah' sebagai ganti nama Tuhan menuduh kerajaan Persekutuan masuk campur ke dalam urusan negeri itu.

Susulan itu, kerajaan Persekutuan mengumumkan kalimah 'Allah' masih boleh digunakan di Kristian di Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pun, tindakan kerajaan menimbulkan persoalan sama ada kerajaan boleh menggunakan dua set undang-undang - satu untuk Sabah dan Sarawak dan satu lagi untuk semenanjung Malaysia - susulan keputusan mahkamah yang dirayu oleh kerajaan sendiri sebelum ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.