Awal dekad 1980-an lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dasar Buy British Last , yang bererti sengaja membeli barang-barang buatan Britain sebagai pilihan terakhir.
Sehubungan ini, bilangan pelajar yang dihantar ke universiti-universiti di negara itu juga dikurangkan. Langkah ini diambil sebagai membantah beberapa dasar dan tindakan kerajaan Inggeris yang tidak dipersetujui oleh Malaysia.
Apabila krisis ekonomi berlaku pada pertengahan dekad itu, semakin kurang bilangan pelajar yang dihantar dan semakin merosot kegiatan ekonomi antara dua negara.
Ekoran dasar, Dr Mahathir memperkenalkan pula "Dasar Pandang ke Timur", bertujuan menjadikan Jepun sebagai contoh dan ilham dari segi pembangunan serta etika kerja bagi negara ini.
Sebagai memenuhi dasar itu, lebih banyak pelajar dan pekerja diberikan biasiswa untuk mengambil kursus di institusi pengajian tinggi dan kilang di negara matahari terbit. Universiti Malaya mengadakan Pusat Pengajian Jepun dan mahasiswa kemudiannya dihantar ke negara itu untuk melanjutkan pelajaran.
Pada suatu ketika, semua yang datang dari Britain - bahkan dari Barat - seolah-olah tidak baik. Kuasa-kuasa besar Barat sering dikritik oleh Dr Mahathir sebagai penjajah atau imperialis bentuk baru. Beliau semacam tidak sedar bahawa Jepun juga merupakan sebuah kuasa besar, dan dasar ekonominya tidak ubah seperti dasar penjajah bentuk baru Britain atau Amerika Syarikat, yang sering dikritik hebat oleh Mahathir.
Sebenarnya, saya juga kadang-kadang tertarik dengan pelbagai kritikan Dr Mahathir terhadap penjajah atau imperialis bentuk baru ini. Tidak kiralah jikalau beliau agak ketinggalan zaman. Sebabnya, apa yang dijaja oleh beliau seolah-olah sebagai perkara baru sekarang, sebenarnya telah lama diucapkan oleh para pemimpin Asia-Afrika, seperti Sukarno, Nehru, Nasser dan Nkrumah lebih tiga 30 atau 40 tahun dulu.
Cuma perbezaanya, pemimpin-pemimpin lama itu terbukti oleh sejarah sebagai lebih tulen dan tegas. Sebaliknya, Dr Mahathir lebih banyak mendedahkan unsur-unsur lakonan dan berpura-pura. Betapa tidak? Pada satu waktu, misalnya, beliau menghentam Amerika Syarikat (AS) yang dituduh sebagai imperialis baru.
Perjanjian tentera dengan Amerika
Tetapi, pada masa yang sama beliau membuat Perjanjian Pertahanan dengan kerajaan Amerika pada tahun 1984, yang membenarkan tentera udara, laut dan darat negara kuasa besar itu berlatih bersama di rantau ini. Di samping itu kapal perang AS yang membawa senjata nuklear dibenarkan melalui Selat Melaka dan berlabuh di pelabuhan Malaysia.
Begitu juga, Dr Mahathir mengkritik (atau pura-pura saja) imperialis AS yang kononnya hendak menguasai dunia melalui proses globalisasi, perjanjian WTO dan sebagainya. Akan tetapi, dalam masa yang sama, beliau dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sering melambai para kaum pemodal dari AS dan negara kuasa-kuasa besar supaya lebih banyak melabur modal di sini.
Modal asing ini diberikan berbagai-bagai keistimewaan dan kerajaan Dr Mahathir tidak campur tangan jika pemodal luar tersebut membayar gaji rendah, membuang pekerja tempatan, atau tidak membenarkan kaum buruh menyusun kesatuan sekerja mereka sendiri.
Seterusnya, Dr Mahathir mengecam (atau acah-acah saja) nilai-nilai budaya buruk yang berpunca daripada negara-negara Barat yang digelarnya penjajah bentuk baru.
Akan tetapi pada masa yang sama, saluran-saluran TV yang dikuasai kerajaan atau kroni-kroni pucuk pimpinan BN, bertalu-talu menyiarkan program yang penuh berunsurkan cinta, tahyul, seks serta kegansan, tidak kira dari Barat atau Timur, yang merosakkan nilai-nilai unggul warisan negara ini.
Pada hal masih banyak program bermutu serta bernilai seni yang boleh dibawa masuk, tetapi mungkin kurang menguntungkan dari segi perdagangan.
Begitu juga tidak ada tindakan tegas terhadap kemasukan dan penjualan pita filem serta cakera padat video yang berunsur lucah dan ganas.
Sekarang, Dr Mahathir berada di England. Beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, dan menjemputnya datang ke Malaysia.
PM berdialog dengan ahli-ahli perusahaan dan perdagangan British. Seperti yang sering berlaku di tempat-tempat lain yang dilawati Dr Mahathir, dialog seumpama ini dikendalikan oleh ASLI (Asian Strategic Leadership Institute), sebuah badan yang diketuai oleh anaknya Mirzan.
Rakyat tentu ingin tahu apakah kerajaan, melalui jabatan atau kementerian tertentu, membayar Mirzan untuk mengelolakan majlis-majlis dialog itu. Perkara ini memerlukan ketelusan.
Dr Mahathir memujuk pemodal-pemodal Inggeris supaya datang melabur lebih banyak lagi. Beliau juga menggalakkan para peniaga dan pengusaha Malaysia melabur di Britain. (Sebenarnya pelaburan ini sudah berlaku. Lihat saja pelaburan kawan baik beliau, pemilik Country Heights, dalam projek Millenium di London).
Tekanan akibat kes Anwar
Selanjutnya, Dr Mahathir menegaskan bahawa tenaga manusia yang mempunyai kepakaran harus dibenarkan bergerak bebas, seperti juga modal, ke mana saja pendapatan atau keuntungan lebih besar boleh diperolehi.
Saya lihat bahawa Dr Mahathir hendak membuktikan kepada kapitalis-kapitalis di Britain, yang pernah dituduh sebagai penjajah bentuk baru itu, betapa liberalnya beliau dan betapa kuatnya beliau berpegang dasar pasaran bebas.
Langkah PM ini bukan saja bertujuan menguatkan lagi hubungan ekonomi dan politik antara kedua-dua negara, dan membaiki ekonomi negara ini yang belum cukup pulih, bahkan sekaligus mengurangkan tekanan ke atas dirinya.
Tekanan seperti ini bertambah kuat akhir-akhir ini kerana beberapa tindakan kuku besi Dr Mahathir sendiri, terutama sekali penyingkiran Anwar Ibrahim.
Saya juga melihat bahawa "Dasar Pandang ke Timur" semakin kurang diperkatakan. Tidak lama lagi rancangan pengajian Jepun di UM akan ditamatkan. Bilangan pelajar yang dihantar ke Britain dipertingkatkan semula. Begitu juga ke Amerika Syarikat.
Saya tidak pelik jika selepas pilihanraya Presiden AS nanti, terutama jikalau Bush menang, Dr Mahathir akan cuba menguatkan lagi hubungan ekonomi, politik dan ketenteraan dengan AS, yang memang sudah agak kuat sekarang. Kemudian bertemu dengan Bush pula. Lepas itu, kalau boleh, Dr Mahathir akan berusaha mengundangnya melawat Malaysia.
Bahkan, sekalipun yang menang nanti Al Gore, saya tidak hairan jika Dr Mahathir akan berusaha membaiki hubungan dengannya. PM memang pragmatik orangnya, dan sanggup membuat apa saja untuk mengurangkan kesan Anwar Ibrahim menghantui kehidupan beliau.
Ke mana saja beliau pergi sekarang, ada saja kumpulan yang berdemonstrasi menentang beliau. Bilangan penunjuk perasaan masih kecil. Akan tetapi kesan psikologinya besar.
Dr Mahathir tambah menggelabah. Pada zahir beliau nampak tenang, akan tetapi dalam jiwa bergelora. Itulah sebabnya, banyak orang mengatakan beliau perlu berlakon dan berbohong dengan lebih berkesan.
Dr Mahathir sedia mengubah dasar politik dan ekonomi negara dan parti untuk kepentingan diri sendiri.
Beliau akan sanggup menukar sikap antipenjajah bentuk baru yang dilaung-laung selama ini sekiranya ia boleh membantu melanjutkan usia kekuasaannya.
Dr Mahathir yakin Malaysia Boleh.
Dr SYED HUSIN ALI merupakan bekas pensyarah Universiti Malaya dan kini Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM)
