Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

MBSA kenakan lesen untuk pondok kutipan tol

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Majlis Bandaraya Shah Alam akan menguatkuasa syarat baru bagi pemegang konsesi lebuh raya supaya membayar lesen perniagaan bagi pondok tol bawah seliaan kawasan perbandaran tersebut bermula 1 Januari.

Ia akan membolehkan MBSA mengutip sekurang-kurangnya RM218,000 setahun dalam bentuk kutipan bayaran bagi lesen pondok tol.

Laporan Sinar Harian yang memetik kenyataan Datuk Bandar MBSA Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menyebut, langkah itu melibatkan sepuluh plaza tol dan 218 pondok kutipan bayaran tol.

“Sepuluh lokasi plaza tol berkenaan ialah konsesi Lebuh raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuh raya Koridor Guthrie (Guthrie),” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau menjelaskan, kadar itu meliputi bayaran lesen RM1,000 untuk setiap pondok bagi tempoh setahun, RM150 untuk iklan bercahaya tidak melebihi 8 meter persegi dan RM15 untuk setiap meter persegi tambahan.

Tambahnya, kadar lesen untuk iklan tidak bercahaya dengan keluasan tidak melebihi 8 meter persegi ialah RM200 dan RM20 untuk setiap tambahan meter persegi.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam mesyuarat bulanan MBSA kali kesepuluh tahun ini.