Seorang ahli akademik menyifatkan orang Islam yang menyokong tuntutan persamaan hak dan pengiktirafan pengamal lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai menjurus kepada kekufuran.
Prof Tan Sri Dr Kamal Hassan berkata tuntutan itu hanya berlandaskan kepada pemikiran semata-mata dan bukannya bersandarkan kepada al-Quran, lapor Berita Harian hari ini.
Dalam laporan itu juga, profesor Pengajian Islam Univerisiti Islam Antarabangsa itu berkata, tindakan itu juga menunjukkan golongan tidak berpegang kepada agama dan hanya berlandaskan kepada pemikiran iaitu akal yang bebas daripada wahyu.
"Ini adalah penyelewengan, kesalahan dan perbuatan kufur yang besar. Kalau orang Islam menolak al-Quran sebagai pegangan hidup, maka ia menjurus kepada kekufuran.
"Umat Islam wajib menolak tuntutan bercanggah dengan al-Quran dan sunnah," katanya seperti dilapor oleh akhbar itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu Al-Quran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di ibu negara, semalam.
Kamal mengulas tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara lain menuntut murtad sebagai kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menghapuskan undang-undang jenayah syariah dan mengiktiraf LGBT di negara ini.
Tuntutan itu ditentang pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai cubaan mencabar kedaulatan negara dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Dalam laporan itu juga, Kamal berkata pengiktirafan LGBT misalnya melalui perkahwinan sejenis berlaku di negara barat, bagaimanapun itu jelas bertentangan ajaran Islam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan masyarakat perlu kembali berpegang kepada al-Quran sebagai kayu ukur yang membezakan antara perkara yang hak dan batil.
