Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kepesatan ekonomi negara dan kekerapan pergerakan keluar masuk penduduk di sempadan Malaysia-Thailand banyak menyumbang kepada kegiatan penyeludupan terutama senjata api.

Kegiatan itu dikesan kembali bermaharajalela di kawasan sempadan dan kini menjadi topik perbualan masyarakat apabila kes bunuh menggunakan senjata api mencatat peningkatan.

Sempadan Malaysia-Thailand berkeluasan 640 kilometer itu terdiri daripada 551 kilometer sempadan darat manakala selebihnya merupakan sempadan perairan yang menjadi sarang kepada beberapa aktiviti penyeludupan yang didalangi kongsi gelap kedua-dua negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata faktor kelemahan pemeriksaan di kawasan sempadan menjadi punca kegiatan penyeludupan mudah dilakukan kumpulan penjenayah ini.

Beliau berkata hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand hanya dijalankan secara rawak membolehkan kumpulan penjenayah menyeludup senjata api dengan mudah.

Namun, katanya, perkara itu tidak boleh dipersalahkan kepada pasukan keselamatan semata-mata kerana ia terjadi disebabkan faktor kepesatan ekonomi di kawasan sempadan yang menjadikan pemeriksaan dilakukan secara rawak.

"Pernah dahulu satu ketika pasukan keselamatan terdiri daripada PDRM, dan Kastam memeriksa bas-bas ekspres dan lori-lori ikan yang memasuki negara ini secara ketat, hasilnya berlaku kesesakan sejauh berkilometer. Akibatnya masyarakat dan peniaga di kawasan terbabit membuat aduan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mazlan berkata pergerakan keluar masuk masyarakat kedua-dua negara secara kerap selain aktiviti ekonomi yang pesat di kawasan sempadan membuka peluang kepada segelintir kumpulan penjenayah mengambil kesempatan menyeludup dadah dan senjata api ekoran daripada pemeriksaan yang longgar di kawasan sempadan.

Hasil risikan PDRM mendapati selain wujudnya lorong-lorong tikus di kawasan sempadan faktor geografi Sungai Golok yang menjadi pemisah antara Malaysia-Thailand turut menjadi sebab mudahnya berlaku penyeludupan, katanya.

"Kalau kita lihat, Sungai Golok itu tak besar mana pun, kalau bukan musim hujan orang boleh menyeberang tanpa menggunakan bot pun, dan ia menjadi punca mengapa mudahnya berlaku aktiviti penyeludupan di negara ini," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, satu langkah yang konkrit perlu dilaksanakan kerajaan selain memperketat beberapa akta sedia ada bagi menangani kumpulan penyeludup ini yang rata-ratanya didalangi kumpulan kongsi gelap.

Menyedari permasalahan itu, PDRM merangka beberapa langkah baharu termasuk memantapkan maklumat risikannya di kawasan sempadan selain melipatgandakan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan juga Unit Pencegahan Penyeludupan.

Penubuhan pasukan operasi cantas (ops cantas) yang berperanan membasmi kegiatan kumpulan kongsi gelap di negara ini terutama membabitkan gangsterisme, senjata api, peras ugut dan bunuh secara tidak langsung menyekat kumpulan-kumpulan ini daripada aktif seterusnya membantutkan usaha mereka melakukan kegiatan penyeludupan.

Katanya, analisis yang diperoleh PDRM baru-baru ini mendedahkan sebanyak 573 senjata api dirampas termasuk 212 pistol jenis semi-automatik, 134 pistol buatan sendiri, 80 revolver, 15 butir bom tangan, 14 'pump gun' dan 71 pistol angin yang diseludup melalui negara jiran.

Sambil mencadangkan setiap agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan memperkukuh kekuatan masing-masing, Mazlan berkata setiap agensi penguatkuasa perlu bertukar-tukar maklumat risikan selain menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata masalah penyeludupan ini dapat diatasi secara berkesan sekiranya semua pihak mengambil bahagian menyelesaikan perkara ini dan tidak meletakkan di bahu pasukan keselamatan semata-mata.

"Saya berpendapat kementerian yang berwajib boleh menggunakan kaedah perang saraf bagi mengatasi masalah penyeludupan ini, guna jabatan-jabatan yang ada untuk mendidik masyarakat terutama di kawasan sempadan agar tidak berurusan dengan para penyeludup," katanya.

- Bernama

ADS