Tokoh Maal Hijrah 1435 Pahang, Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin mahu umat Islam melakukan penghijrahan ilmu kerana ia faktor paling kuat bagi mengubah nasib seseorang.

Beliau berkata, ilmu perlu dituntut secara profesional agar penghijrahan itu menjadi lebih tersusun dan mampu membantu seseorang individu itu mencapai kejayaan cemerlang.

Katanya pendidikan paling berkuasa untuk membawa perubahan dalam diri seseorang kerana tanpanya seseorang itu sukar untuk berhijrah.

"Ilmu juga perlu dituntut secara tersusun, belajar dengan orang yang sewajarnya dan di tempat yang mudah untuk kita menuntut ilmu seprti di institusi pengajian tinggi. Ini akan menjadikan penghijrahan kita itu lebih bermakna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat Pahang di sini hari ini.

Zaleha yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran (Undang-Undang) dari Universiti London dalam pada itu menambah, beliau dan para cendekiawan yang lain berazam untuk terus berbakti kepada masyarakat khususnya rakyat negeri ini agar lebih ramai golongan teknokrat dan profesional Islam dapat dilahirkan.

"Saya terharu dengan penghargaan ini dan selaras dengan itu akan terus memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam bidang keilmuan kerana ini adalah jihad saya untuk melihat umat Islam maju ke hadapan," katanya.

Zaleha, anak kelahiran Raub, Pahang, banyak menghasilkan buku, artikel dan penyelidikan berkaitan undang-undang dan juga memberi khidmat perundingan kepada kementerian, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada Mac 2009, beliau menerima Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor daripada kerajaan negeri.

- Bernama