Akibat patah tangan kanan untuk menulis, seorang pelajar di Jitra dikehendaki menjawab soalan peperiksaan SPM secara lisan.
Muhd Faiz Hasiri, 17, berkata untuk menjawab kertas Bahasa Melayu 1 pada peperiksaan itu yang bermula hari ini, dia dibantu seorang pengawas peperiksaan untuk menulis jawapannya.
Sehubungan itu, suaranya direkod bagi membuktikan jawapan yang diberikan itu sama seperti apa yang ditulis oleh pengawas, kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra itu.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung hingga 5 Dis depan.
Tangan Muhd Faiz patah selepas terjatuh tangga di sebuah pasaraya di sini seminggu lepas ketika keluar membeli peralatan tulis sebagai persediaan untuk peperiksaan tersebut.
"Agak sukar untuk saya beri jawapan dalam bentuk lisan tetapi semangat saya tinggi untuk mengambil peperiksaan ini," katanya kepada pemberita di Jitra.
Muhd Faiz berkata, untuk kertas Matematik nanti dia akan cuba memastikan jawapan yang memerlukan lakaran dan gambarajah dapat diberikan sebaik mungkin.
"Saya harap akan mendapat keputusan yang baik walaupun terpaksa menjawab kertas peperiksaan secara lisan," kata anak bongsu dari tiga beradik itu.
- Bernama
