MP DAP Ko Chung Sen menggesa kerajaan memperkenalkan medium pengajaran bahasa Inggeris di sekolah terpilih lain dan bukan hanya di kalangan segelintir pelajar di sekolah elit tertentu.
Katanya, hanya kira-kira dua peratus pelajar yang mengikuti sistem persekolahan peringkat menengah di Malaysia yang menikmati keistimewaan itu.
Jelasnya, golongan itu itu merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge's International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
"Ramai di kalangan yang terpilih (memasuki MRSM) terdiri dari keluarga kaya dan berpengaruh. Bagaimana dengan 98 peratus pelajar lain?
"Tidak adil untuk menafikan peluang yang sama kepada mereka... Jika IGCSE cukup baik untuk MRSM, ia juga cukup baik untuk seluruh (pelajar),” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Katanya, sistem penilaian berkembar seperti itu mungkin tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam jangka pendek kerana kekurangan guru dan pelajar yang layak.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar sistem tersebut diperkenal di sekolah di kawasan bandar untuk dijadikan sekolah yang menggunakan medium bahasa Inggeris tetapi tetap menggunakan penilaian SPM.
Ini bermakna, kesemua mata pelajaran kecuali bahasa Melayu diajar dan dinilai dalam bahasa Inggeris.
Beliau mencadangkan sistem tersebut diperkenal di sekolah seperti Victoria Institution di Kuala Lumpur, Penang Free School, St Michael Institution dan sekolah mubaligh.
