Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jamil: Bekalkan senjata pada penguatkuasa agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan agar anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi.

Beliau juga menyarankan pasukan polis mempertingkat rondaan di kawasan kediaman anggota penguat kuasa terbabit, terutama ketika hari cuti dan hujung minggu.

Ini bagi mempertingkat aspek kawalan keselamatan pegawai berkenaan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada pelajar sekolah di kawasan Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur hari ini.

Saranan beliau itu susulan kejadian pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, kelmarin.

Dalam kejadian 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpanya di kediaman beliau di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.

Media melaporkan Allahyarham terlibat dalam beberapa kes besar termasuk memantau gerakan Syiah di Pahang serta ajaran sesat 'Tuhan Harun'.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata beliau akan memanjangkan cadangan itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas isu lain, beliau berkata setakat ini terdapat lapan kumpulan ajaran sesat dikenal pasti aktif di seluruh negara.

"Tidak ramai pengikut mereka. Kita sentiasa cari. Mereka ini seperti penyakit yang senyap-senyap berkembang," katanya yang tidak mahu mendedahkan nama kumpulan terbabit.

"Kebanyakan ajaran sesat menggunakan pendekatan halus seperti bergerak (menyampaikan ajaran) secara mulut ke mulut, mula dengan perwatakan baik seperti bersongkok, ketayap sebelum mula menggerakkan ajaran sesat.

"Kita sukar hendak pantau. Beban membuktikan mereka terlibat juga sukar dan memerlukan saksi dan penglibatan masyarakat," katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Jamil Khir berkata Skim Bantuan Pakaian Persekolahan membabitkan peruntukan RM3.7 juta itu untuk membantu 17,912 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah rendah agama di Wilayah Persekutuan.

-Bernama

ADS