Polis sedia menimbang sebarang permohonan pembekalan senjata api kepada anggota penguatkuasa termasuk jabatan agama yang bertugas di bahagian kritikal atau berisiko.
Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Polis Diraja Malaysia Datuk Ayub Yaakob berkata jika ada keperluan, polis tidak akan menolak permohonan mereka tetapi ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.
Permohonan itu perlu dibuat kepada Ketua Polis Daerah sebelum dibawa kepada Ketua Polis Negeri dan dikemukakan untuk kelulusan oleh Ketua Polis Negara.
"Kita faham, tugas mereka sebagai anggota penguatkuasa sentiasa berdepan dengan risiko. Tidak dinafikan, alat untuk mempertahankan diri seperti senjatapi itu perlu walaupun ia bukan satu-satunya cara (pertahankan diri).
"Memang sebelum inipun, anggota penguatkuasa seperti Kastam dan Imigresen mengikut prosedur sama. Kita mahu hanya mereka yang benar-benar memerlukan senjatapi memohon dan anggota itu perlu diberi latihan secukupnya untuk mengendalikan senjatapi itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ayub diminta mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi.
Jamil Khir membuat cadangan itu susulan pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, pada Ahad lepas.
Dalam kejadian jam 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpanya di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
Ayub berkata beberapa operasi jabatan agama sebelum ini turut ditemani anggota polis bersenjata bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika tugas penguatkuasaan dijalankan.
Beliau berkata polis akan menimbangkan pembekalan senjatapi kepada anggota penguat kuasa agama dengan melihat atau mengkaji beberapa perkara yang penting termasuk tahap risiko.
"Bukan mudah untuk kita beri senjatapi itu begitu sahaja. Kita tidak mahu wujud masalah lain seperti salah guna atau kecuaian," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menilai atau mengkaji perkara itu dari segenap sudut termasuk kesannya jika penggunaan senjata api digunakan oleh anggota penguatkuasa jabatan agama.
Beliau berkata anggota penguatkuasa jabatan agama boleh membuat permohonan untuk menggunakan senjata jika mereka ada asas untuk berbuat demikian.
Bagi melindungi diri anggota penguatkuasa ketika menjalankan operasi, Lee mencadangkan polis mengiringi mereka supaya keselamatan lebih terjamin.
Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tuan Asmawi Tuan Umar pula berkata persatuan itu menyambut baik cadangan itu dan meminta kerajaan menimbang beberapa perkara sebelum ia direalisasikan.
- Bernama
