Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

MP berbalas koyak kertas usul di Dewan Rakyat

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan  |  Dikemaskini

1. VIDEO l 4:02 minit

2. VIDEO

Jika pagi tadi beberapa MP pakatan Rakyat mengoyak-ngoyak kertas usul menggantung MP Padang Serai sewaktu ia dibentangkan, petang tadi menyaksikan giliran MP dari BN pula untuk 'membalas dendam'.

MP Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengoyak usul MP Kuantan, Fuziah Salleh yang mencadangkan agar gaji lima orang penasihat bertaraf menteri yang dibayar sebanyak RM27,227 sebulan setiap seorang untuk tempoh setahun, 'diagihkan semula'.

Membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Fuziah berkata ia dimajukan untuk mengelakkan pembaziran Belanjawan 2014 memandangkan lima jawatan itu dilihat sebagai tidak lebih daripada lantikan politik.

Di sebelah pagi, MP Pakatan yang diketuai Azmin Ali (PKR-Gombak) melabelkan usul menggantung Surendran selama enam bulan sebagai 'usul haram'.

Tidak lama kemudian, sebahagian MP Pakatan Rakyat bangkit dan melaung perkataan 'usul haram' berulang-ulang kali.

Pada masa yang sama, sebahagian MP Pakatan yang lain pula menggumpal kertas usul atau mengoyak-ngoyakkannya sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan usul tersebut.

 

pakatan mp tearing motion papers 141113 fuziah sallehDi sebelah petangnya, sewaktu Fuziah (kiri) membentangkan usul beliau,

Bung Moktar bangkit mencelah dan menggesa Fuziah dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

Beliau mendakwa Fuziah membuat kesilapan teknikal dalam menamakan jawatan terperinci lima penasihat yang dimaksudkan dalam usul itu.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan usul itu sebagai "usul haram" seperti dilakukan Azmin di sebelah pagi sebelum mengoyak-ngoyakkan kertas usul.

Beliau kemudian terus menepuk-nepuk meja sambil menjerit "tipu" berulang-ulang kali seorang diri menyebabkan usul Fuziah tergendala seketika untuk dibentangkan.

Lima penasihat bertaraf menteri yang dirujuk Fuziah dalam usulnya adalah Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Johari Baharom, dan Hasbi Habibollah.

Berikut adalah sedutan daripada apa yang berlaku:

Bung Moktar: Usul ini tidak betul, tak perlu dibahas dan saya minta rakan-rakan berdiri bersama saya, kita tolak usul ini sebab usul ini haram, haram dan tidak boleh dibahas. Kita tolak 100 peratus!

Datuk Ronald Kiandee: Tak boleh

Pembangkang: siapa speaker ni?

(Semua MP BN berdiri)

Bung Muktar: koyak, koyak

Sim Tong Him: Duduklah

Bung Muktar: Koyak, koyak, usul haram, haram, haram, usul haram.

Rafizi Ramli: Saya ucapkan kepada rakan-rakan daripada BN, kerana dengan lawak tadi, itulah yang akan pergi ke laman-laman youtube selepas tu.

Bung Muktar: Yang tadi buat lawak jugak apasal tak sentuh? Sebutlah! lagi teruk daripada kita punya lawak. Sebutlah! Berdiri berdiri berdiri. ini usul tipu punya, mana boleh bahas? Kenapa bahas, ni usul haram, haram haram haram, tak boleh, haram haram haram tak boleh, tipu tipu tipu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak dua usul berkenaan pemotongan gaji ke atas jawatan beberapa orang Duta Khas dan Penasihat Khas yang dilantik kerajaan.

   

Usul pertama yang dibawa Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) ialah usul untuk memotong elaun yang dibayar kepada tiga bekas menteri yang kini dilantik sebagai Duta Khas yang keseluruhannya berjumlah RM980,179 setahun.

Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).

   

Usul kedua pula dibawa Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang mencadangkan supaya gaji lima penasihat khas kepada kerajaan di Jabatan Perdana Menteri dipotong kerana pelantikan mereka bertindih dengan fungsi menteri dan kementerian sedia ada, serta membazirkan wang rakyat.

   

Bagaimanapun, Fuziah telah memberikan fakta-fakta yang salah tentang mereka dengan mengatakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Wanita, Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi untuk negeri Selangor), Datuk Seri Johari Baharom (Penasihat Wilayah Koridor Utara) dan Tan Sri Dr Rais Yatim (Penasihat Khas Sosial dan Kebudayaan) dan Hasbi Habibollah, penasihat pembangunan Sarawak.

   

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul kedua itu berkata usul itu ditolak kerana fakta yang dikemukakan Fuziah adalah salah.

   

Katanya, sebagai contoh, jawatan sebenar Shahrizat ialah Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita dan bukan Penasihat Hal Ehwal Wanita seperti yang disebut Fuziah.

   

Katanya, jawatan sebenar Noh pula ialah Pengerusi Tindakan Persekutuan Selangor manakala Johari (Penasihat Khas kepada Perdana Menteri untuk Wilayah Koridor Utara), Hasbi adalah Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak dan Rais adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.

   

Fuziah mendakwa keseluruhan bayaran gaji kepada lima orang penasihat itu berjumlah RM1.6 juta setahun.

   

Bagaimanapun, kedua-dua usul itu ditolak setelah Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee membuat undian secara lisan yang menyaksikan lebih suara menolak daripada menyokong.

   

Ketika menggulung perbahasan untuk usul pertama, Razali berkata pemberian  elaun kepada ketiga-tiga duta khas itu adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani setelah pelantikan dikuatkuasakan pada tahun 2011.

   

"Dalam perjanjian itu ada dinyatakan bahawa semua duta khas yang dilantik diberi penawaran (elaun) dan balasan sewajarnya berdasarkan tugasan yang diberi.

   

"Sama ada mereka mahu menerima (elaun) ataupun tidak, mereka mempunyai hak, (namun) perjanjian telah ditandatangani," katanya.