Yayasan Islam Perlis (YIPs) bersedia menyerahkan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) kepada mana-mana pihak yang berminat mengambil alih institusi itu.
Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata YIPs terpaksa menutup IPTIPs kerana masalah kewangan dan setakat ini tiada altenatif untuk memberi nafas baru kepada institusi itu.
"Mana-mana pihak yang berminat mengambil alih IPTIPs boleh berbuat demikian. Bagaimanapun mereka juga perlu mengambil beban yang ditanggung oleh IPTIPs," katanya ketika diminta mengulas cadangan YIPs menutup operasi institusi itu mulai 1 Januari depan.
Azlan yang juga pengerusi YIPs berkata keputusan menutup IPTIPs telah lama dibuat dan telah mengambil kira pelbagai faktor untuk menentukan tarikh menamatkan operasinya kerana beban kewangan yang sedang ditanggung.
Berikutan penutupan itu, kakitangannya termasuk pensyarah yang berkelayakan dan memenuhi syarat diminta memohon menyertai institusi lain termasuk Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang baru ditubuhkan.
Beliau berkata penuntut IPTIPs yang akan menamatkan pengajian akhir tahun ini masih boleh meneruskan pengajian mereka sehingga memiliki diploma manakala mereka yang belum tamat pengajian dicadang menyertai institusi lain yang berkaitan.
Azlan berkata pelbagai pihak boleh mengeluarkan pandangan dan pendapat mengenai IPTIPs namun YIPs tidak mempunyai pilihan kecuali menutup institusi itu.
Katanya, walaupun IPTIPs merupakan sebuah institusi pengajian swasta namun ia mengenakan yuran yang rendah dan sebahagian besar kos pengajian penuntut ditanggung oleh YIPs.
Sebelum ini, Rektor IPTIPs Mohamad Fadhli Ilias berkata lebih 30 kakitangan institusi itu berharap IPTIPs terus beroperasi meskipun YIPs telah membuat keputusan menutupnya mulai 1 Jan.
IPTIPs menawarkan program diploma iaitu Diploma Al Quran dan Al Hadis, Diploma Usuluddin, Diploma Syariah di samping pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia dan kursus intensif bahasa Arab.
Selain penuntut tempatan, IPTIPs juga mempunyai ramai penuntut asing.
-Bernama
