Mimbar Jumaat hari ini menggesa umat Islam agar tidak terus leka dengan "barah dan virus" melalui teknologi Internet yang amat pantas kesannya, terutamanya kepada golongan muda.
Amaran itu disampaikan menerusi teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jati diri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah," teks khutbah itu dipetik.
Ia merupakan kesimpulan daripada teks khutbah yang menyeru umat Islam agar berwaspada dengan serangan "kekuatan-kekuatan antarabangsa" yang didakwanya mendukung aliran seperti pluralisme dan liberalisme.
Tanpa menamakan mana-mana organisasi atau individu yang dimaksudkan, mimbar Jumaat mendakwa golongan ini menggunakan Internet untuk menghina umat Islam.
"Mereka melancarkan serangan-serangan secara halus lagi tersusun dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya sama ada melalui simbol-simbol, laman web, laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter," teks itu dipetik.