Karamkah kapal DAP-PAS angkara Karpal?
Perbalahan antara Pengerusi DAP Karpal Singh dengan beberapa pimpinan PAS, paling ketara dengan Naib Ketua Pemuda Dr Raja Ahmad Iskandar Yaacob ( bawah ) dan Dewan Muslimat ternyata tiada penghujungnya sehingga hari ini.
Ini disahut pula oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS, antaranya Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan timbalan pesuruhjaya III PAS Kelantan yang juga calon timbalan presiden Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah.
Mereka menyifatkan kenyataan ahli Parlimen Bukit Gelugor hanya suara ganjil dalam Pakatan Rakyat.
Justeru, segelintir pihak dengan cepat berpendapat, inilah bibit-bibit yang boleh menjerumuskan kedua-dua parti ke lembah kebinasaan yang memungkinkan kapal Pakatan karam apabila PAS tidak lagi mahu menjadi nakhoda utamanya.
Ada yang yang berpendapat, perbalahan secara terang-terangan ini menjadi manifestasi kekecewaan PAS dalam bergandingan bersama DAP pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang tidak lagi dapat dibendung.
Malah ada juga berpendapat, kelantangan pimpinan PAS sebahagian kempen di kalangan calon-calonnya menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-59 yang akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi di peringkat pusat dan dewan-dewan bagi penggal 2013-2015 bermula esok.
Apa jua penyebab atau ramalannya, perbalahan secara terbuka yang mendapat liputan meluas di media cetak, elektronik dan portal berita tempatan, terutama milik Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3, secara terang lagi bersuluh menggambarkan kekusutan hubungan antara PAS-DAP.
Itu belum termasuk ketetapan PAS Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas bagi melicinkan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri tersebut, suatu tindakan yang tidak digemari DAP dan sering menjadi punca pertikaman lidah antara kedua-dua parti sebelum ini.
Muktamar penentu hubungan
Bagaimanapun, perkara itu tidak mampu menjadi faktor utama perpecahan Pakatan, apatah lagi tidak memungkinkan PAS untuk tidak lagi bergandingan bersama DAP dan PKR pada PRU ke-14.
Lebih menarik untuk diperhatikan, keputusan pemilihan PAS pada 24 November ini akan menjadi penentu kepada kesinambungan hubungan erat parti komponen dalam Pakatan terutama, DAP dan PAS.
Ada yang berpendapat, jika Mohamad Sabu yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu berjaya mengekalkan jawatannya, maka hubungan PAS dan DAP kekal seperti biasa malah akan terus diperkukuhkan.
Telah menjadi rahsia umum mengenai hubungan akrab antara Mat Sabu dengan setiausaha agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semenjak sama-sama menjadi penghuni Kem Kamunting semasa Operasi Lalang 1987.
Keakraban yang dicemburui oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin ini terserlah kerana Guan Eng dikatakan sanggup berjaga malam jika Mat Sabu mengajaknya menemani beliau makan nasi kandar, jika Mat Sabu singgah di Pulau Mutiara itu.
Keakraban tersebut juga meletakkan Mat Sabu dalam kedudukan untuk menjawat pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).
Namun jika Nik Amar pula berjaya mengalahkan Mat Sabu untuk jawatan nombor dua dalam PAS itu, ramai melihat bukan sahaja keakraban antara kedua-dua parti itu tergugat, malah turut melibatkan PKR.
Pandangan ini tidak salah jika dilihat pada kenyataan Nik Amar sebelum ini yang pernah bertegas mengenai keperluan PAS untuk mengkaji kerjasamanya dengan DAP dan PKR setelah parti itu gagal mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu pada PRU13.
Hasrat kaji kerjasama politik
Nik Amar dipetik sebagai berkata:
"PAS ketinggalan dalam PRU yang lalu dalam jumlah kerusi yang dimenangi. Kita menang 21 kerusi Parlimen berbanding 23 sebelum ini, sedangkan Umno menambah daripada 79 kepada 89.
"Kita tidak boleh mencapai matlamat untuk menggantikan Umno jika kita tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu Islam."
"Kita bukan nak menarik diri daripada Pakatan tetapi kita perlu mengkaji masalah dan kesilapan yang menyebabkan orang Melayu menyokong Umno bukan PAS," kata Nik Amar lagi yang melegakan ramai penyokong Pakatan.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib juga pernah menyuarakan hasrat parti itu untuk mengkaji kerjasama berlandaskan prinsip tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP dan PKR ekoran kemerosotan undi Melayu untuk parti itu.
Tahaluf siyasi tersebut ekoran teguran beberapa pihak kepada PAS kerana didakwa berlembut dalam isu-isu bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, ketegasan mendirikan agama Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud.
Itu di peringkat pemilihan jawatan timbalan presiden PAS, di peringkat jawatan naib presiden PAS pula, suasana agak serupa dengan pertembungan Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang dicabar oleh Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta ahli jawatankuasa kerja (AJK) Pusat Datuk Abu Bakar Chik.
Ada yang berpendapat jika Husam, Mahfuz dan Salahuddin menang, maka penglibatan dan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat akan berterusan sehingga PRU ke-14 dan bakal memasuki bab pengukuhan seterusnya.
Hudud yang menunggu bangkangan kuat
Namun, jika Abu Bakar dan Tuan Ibrahim menang, suasana pastinya sedikit sebanyak berbeza.
Pendapat ini juga tidak salah jika dilihat daripada kenyataan Abu Bakar yang menggambarkan hasratnya 'mengembalikan' PAS pada perjuangan asalnya dengan menolak fahaman liberalisasi.
Abu Bakar ( bawah ) dilaporkan berkata: "PAS sebagai sebuah parti politik, PAS seharusnya dipimpin secara konsisten dan tidak dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meliberalkan PAS.
"Hala tuju PAS tidak boleh diliberalisasikan," katanya lagi yang pastinya merujuk kepada kerjasama yang terjalin dalam Pakatan terutama bersama DAP.
Tuan Ibrahim pula menyebut mengenai perbincangan usul khas bagi mendesak negeri bawah pentadbiran Pakatan melaksanakan hudud, termasuk Pulau Pinang dan Selangor selain Kelantan.
"Dalam muktamar itu juga kita akan desak negeri yang dikuasai Pakatan melaksanakan undang-undang itu," ujar Tuan Ibrahim.
Usul ini pastinya menimbulkan bangkangan kuat daripada DAP yang kini menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Cina.
Apapun, 1,300 perwakilan PAS yang bakal menyertai muktamar di Shah Alam lusa yang akan menentukan masa depan hubungan parti itu bersama DAP dalam Pakatan.
AMRAN AHMAD merupakan ahli seumur hidup DAP sejak 2009 dan juga anak kepada bekas naib pengerusi DAP, allahyarham Ahmad Nor. Amran melihat slogan "Berani Ubah" mesti bermula dari dalam parti itu sendiri.

