MB: Kejadian tembak dipercayai berkait pelepasan penjenayah
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beberapa kes tembak di negeri ini dipercayai ada kaitan dengan pembebasan 2,600 penjenayah selepas penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.
"Kejadian tembak menembak ini ada kaitan dengan pelepasan 'hard-core criminals'," katanya ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (DAP-Semambu) di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.
Lee mahu tahu pendekatan polis dari segi kawalan senjata api ekoran beberapa kejadian tembak-menembak di negeri ini.
Menteri Besar berkata pengeluaran senjatapi dibuat secara berhemah berdasarkan kepada kriteria tertentu.
"Berdasarkan rekod jenayah menunjukkan banyak kes-kes besar telah berjaya diselesaikan namun langkah-langkah
keselamatan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu Adnan berkata beliau yakin penjenayah yang menembak mati Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malik 10 November lalu akan dapat ditangkap dan dihadap ke muka pengadilan.
- Bernama

