Pengulangan tarbiah tanpa nilai tambah PAS ditegur
Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan mahu penambahbaikan dilakukan terhadap agenda tarbiah atau pendidikan politik oleh kepimpinan baru dewan itu.
Dalam ucaptama terakhir beliau sebagai ketua Pemuda, Nasrudin menyatakan bahawa sudah tiba masanya Pemuda PAS mengolah skema pentarbiahan yang diamalkan supaya sesuai dengan cabaran moden.
"Sudah sampai masanya skema pentarbiahan Pemuda diberikan nilai tambah kerana konteks dan tuntutan perjuangan dalam realiti dakwah dan politik juga begitu dinamik.
"Kita tak mahu lagi senario di mana bahan tarbiah yang sama diulang berkali-kali tanpa banyak nilai tambah," tegas beliau di Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya hari ini.
Pemuda PAS sebelum ini dikritik pelbagai pihak kerana dilihat 'tenggelam' dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat.
Sementara itu, Nasrudin turut mengulas corak pengundian dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu yang menurutnya menunjukkan ketidakseragaman pada pola pengundian.
Dalam muhasabah pencapaian PRU ke-13, beliau yang juga ahli Parlimen Temerloh, meletakkan sasaran penguasaan undi anak muda
sehingga 60 peratus.
"Jika sebelum ini struktur politik kita sekian lama dibentuk pola politik berasas kaum, kali ini kelompoknya terbina berasaskan jalur urbanisasi dan kelas ekonomi selain faktor umur dan akses pada maklumat," katanya.
Perwakilan Pemuda PAS akan memilih ketua baru menggantikan Nasrudin yang tidak mempertahankan jawatan itu dan bertanding di peringkat jawatankuasa pusat.
Tiga calon yang berentap ialah ketua bekas Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kayat, peguam dan aktivis anti saman ekor Zulhazmi Shariff dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad.

