mk-logo
Berita
Tiba masanya FAM tak campuri pengurusan Liga M

Selepas kekalahan Harimau Malaya di tangan Qatar Selasa lepas, secara tak langsung tertutup sudah pintu kempen pasukan pasukan kebangsaan bagi musim 2012/2013 selepas kejayaan menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010.

Sejak muncul juara, suasana bola sepak di Malaysia terus berubah apabila penyokong dengan bangganya menyarung replika jersi Harimau Malaya ke mana sahaja mereka pergi dan stadium sentiasa dipenuhi dengan penyokong.

Di samping itu, pengaruh Ultras Malaya semakin bertambah dan bersemarak. Pemain pula menjadi idola dan dipuja oleh ramai peminat.

Jurulatih pula dikurniakan pingat atas jasa bakti dan kehidupan berubah dengan gelaran Datuk. Pemain dan jurulatih menjadi tumpuan syarikat-syarikat besar untuk dilantik sebagai duta produk dengan kontrak lumayan. Ini semua tak pernah berlaku sebelum ini.

Namun, harapan mula terkandas apabila Harimau Malaya mengalami kekalahan demi kekalahan dalam kebanyakan perlawanan persahabatan antarabangsa dan gagal mempertahankan piala yang sama bagi musim 2012 dan hanya mampu layak di peringkat separuh akhir sahaja.

Penyokong masih memaafkan dan meletakkan harapan tinggi walaupun kritikan datang bertali arus.

Seterusnya, Harimau Malaya gagal pula untuk ke peringkat kumpulan bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Penyokong terus meletakkan harapan untuk layak ke Piala Asia di Australia pula.

Perlawanan demi perlawanan, pasukan negara hanya mampu mengumpulkan 4 mata dari 5 perlawanan dan gagal untuk layak secara automatik.

Pintu kempen tertutup

Sekarang pasukan negara menantikan kelayakan secara ehsan tiga pasukan terbaik dari kalangan pasukan yang menduduki tempat ke-3 dari 5 kumpulan. Di kira secara matematik, peluang agak tipis walau harapan masih ada.

Apapun, sekarang kita bolehlah anggap pintu kempen lama telah tertutup dan buku baru sudah boleh mula dibuka.

FAM perlu ada sasaran komprehensif serta merangka visi dan misi yang meyakinkan semua pihak terutama penyokong dan rakyat Malaysia.

Jika ditanya kepada semua, ke mana anda mahu lihat pasukan negara ini? Pasti semua akan menjawab mahu lihat bendera negara dikibarkan di venue Piala Dunia sebagai pasukan yang layak.

Ini mungkin cita-cita melampau jika dilihat kepada prestasi pasukan negara sekarang.

Namun, tidak ada salahnya untuk kita semua bercita-cita tinggi kerana kejayaan harus datang dari impian dan cita-cita.

Hanya usaha sahaja yang akan memisahkan antara berjaya dengan impian.

Sehubungan itu, mulai tahun hadapan, FAM harus menggariskan sasaran berikut sebagai key performance index setiap yang terlibat dengan pasukan negara bagi mengembalikan harapan peminat bola sepak negara:

1. Menjuarai Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura/Vietnam dan layak ke final pertandingan seterusnya.

2. Layak ke Piala Asia 2019 mungkin di Iran, China atau UAE.

3. Layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pelan pembangunan strategik

Di samping itu, pasukan Harimau Muda pula tanpa diberikan sebarang tekanan wajar juga diberikan sasaran berikut:

1. Pingat Emas Sukan Sea 2015.

2. Layak setinggi boleh bagi Olimpik 2016 di Rio atau 2020 di Tokyo.

3. Layak ke Sukan Asia 2019 di Hanoi.

Jika semua ini berjaya dicapai, maka saya tidak lihat apa-apa masalah bagi pasukan bola sepak negara mencapai kelompok 100 terbaik bagi ranking bola sepak dunia FIFA.

Untuk mencapai semua ini, satu pelan pembangunan bola sepak negara yang strategik dan komprehensif seharusnya dirangka dan dilaksanakan.

Dalam proses merangka pelan ini, seharusnya pandangan banyak pihak diambil kira yang terdiri daripada para jurulatih bola sepak tempatan, pemain-pemain, bekas pemain dan terpenting sekali adalah pandangan daripada penyokong.

Tak semua pandangan adalah betul, tetapi belum dengar, belum tahu.

Mereka ini semualah sebenarnya stakeholder bola sepak negara manakala jurulatih pasukan negara dan pemain adalah sumber yang kita ada untuk digembleng bagi mencapai objektif, misi dan visi yang digariskan.

Tetapi, dalam semua ini, perkara yang paling utama sekali wajar dilakukan dahulu ialah merombak keseluruhan pentadbiran FAM itu sendiri dengan membawa masuk pegawai-pegawai yang mempunyai idea-idea yang segar dan ikhlas membantu serta sedia mendengar teguran dan pandangan.

Masa cipta sejarah baru

Bukanlah hendak dikatakan pengurusan yang ada ini tidak bagus dan tidak betul. Mereka sudah berjasa agak lama dalam bola sepak negara.

Tetapi peluang telah diberikan dan setakat ini belum ada kepuasan dari banyak pihak akan prestasi pasukan bola sepak negara, sedangkan pelaburan yang dilakukan amatlah besar walaupun daripada kantung para penaja.

Sudah tiba masanya juga untuk FAM tidak mencampuri pengurusan Liga M sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembentukan, pengurusan dan pentadbiran pasukan bola sepak negara.

Ini termasuk juga pembangunan pemain-pemain muda bagi menggalas cabaran negara jika ditakdirkan kita layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.

Masa mengenang sejarah lampau sudah berlalu. Pasukan Korea Selatan yang dahulunya sangat gerun setiap kali bertemu pasukan Malaysia sudah enam kali layak ke final Piala Asia serta sekarang menjadi peserta tetap Piala Dunia.

Malah mereka pernah layak sehingga ke separuh akhir Piala Dunia 2002 yang lepas.

Begitu juga dengan pasukan Jepun yang dahulunya menjadi pasukan belasahan Malaysia dan belajar cara menganjur liga profesional dari Malaysia, tetapi sekarang adalah satu kuasa bolasepak Asia dan dunia.

Sekarang masa untuk mencipta sejarah baru. Kita sudah layak dua kali ke Sukan Olimpik dan sudah bermain di pusingan akhir Piala Asia dan juara Piala AFF.

Kini masanya untuk pandang ke hadapan dan mulakan mencipta sejarah baru, tetapi bukan tahun hadapan, sebaliknya pandangan 10 tahun mendatang yang kemuncaknya ialah Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2022 ( sembilan tahun lagi).

Inilah satu-satunya kejohanan dunia yang Malaysia masih belum beraksi. Ayuh FAM, kita cipta sejarah, tinggalkan sejarah lampau.


ZACK RAHIM Bekas pengurus pasukan Selangor 2008-2010 dan pengurus penyerang negara Safee Sali.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini