BERITA Malaysiakini

Dakwaan 'plagiat' Ridhuan Tee diadukan pada universiti

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Dakwaan berhubung plagiarisme melibatkan Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah diadukan kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tempat penceramah terkenal itu berkhidmat.

NONE Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Airil Yasreen Mohd Yassin ( kanan ), yang dikatakan mangsanya, berkata, aduan itu dibuat pada Oktober lalu dan belum dibalas.

"Aku dah e-mel kepada TNC (timbalan naib canselor) UPNM, dan lampirkan salinan emel itu kepada peguam UTM bulan Oktober hari itu, minta perkara ini disiasat.

"Sehingga kini tiada lagi respon dari UPNM tentang perkara ini. Mungkin mereka tengah buat siasatan lagi jadi kena tunggu," kata Dr Airil.

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok semalam mengadakan sidang media di lobi Parlimen, yang mendakwa Ridhwan memplagiat tugasan Dr Airil untuk Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK4) Kumpulan Pensyarah Gred DS51 Siri 1/2010.

Manakala Senator DAP Ariffn SM Omar pula mempersoalkan tindakan UPNM menaikkan pangkat Ridwan kepada profesor madya walaupun menghadapi menghadapi tuduhan serius yang dianggapnya tamparan buat ahli akademik lain.

Ridhwan pula menjelaskan kepada Malaysiakini , beliau sedia bersemuka dengan pihak yang menuduhnya itu dan menyifatkan perkara itu cubaan untuk mencemar nama baiknya.

'Alahai malunya aku'

Menulis di Facebook, Dr Airil berkata, beliau yakin tugasan dirujuk itu hasil plagiat daripada satu masukan dalam blognya tentang kajian pasca ijazah.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jika salinan tulisan yang didakwa memplagiat itu milik Ridhuan.

"Di sini aku tegaskan ' copy yang diberikan' sebab aku tak pasti sama ada copy (salinan) itu memang Dr Ridhuan Tee punya. Ini kena siasat.

"Tapi as far as 'copy yang diberikan' kepada aku, itu memang plagiat artikel aku," katanya.

Beliau turut menjelaskan yang tulisan asal beliau mengandungi kesilapan tatabahasa Inggeris kerana ia hanya ditulis untuk blog dan bukan kerja akademik.

"Tapi yang tak bestnya , semua mentioned tentang dakwaan Dr Ridhuan Tee copy semua termasuk grammar yang salah... alahai malunya aku," tulisnya lagi.