Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Bekas mufti Perlis cabar mufti Kedah sumpah laknat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mencabar mufti Kedah Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad bermubahalah atau bersumpah laknat dengannya selepas timbulnya rakaman video yang didakwa memfitnahnya.

"Jika tidak, saya mengajak beliau bermubahalah iaitu bersumpah laknat atas nama Allah.

"Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya.

"Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau," tulisnya dalam artikel "menjawab fitnah mufti Kedah" dalam blognya hari ini.

Sambil menegaskan tuduhan secara dusta sebagai dosa besar, Dr Asri berkata akan bertemu dengan mufti Kedah di mahkamah Masyar dan menegaskan Allah juga mampu bertindak di dunia ini.

"Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah," kata Dr Asri.

'Tuduhan samakan Allah dengan kera'

Katanya, daripada rakaman yang diperolehnya, Sheikh Muhamad Baderudin bercakap tentang nama satu pihak dan isu Wahabi, namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama Dr Asri.

Antara dibangkitkan dalam video itu, tambah Dr Asri, berkaitan tuduhan kepada aliran Wahabi, pengiktirafan kepada keberkatan Nabi Muhammad dan tuduhan menyamakan Allah dengan makhluk, seperti kera.

"Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar.

"Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber," jelas Dr Asri.

Beliau juga bersumpah dengan nama Allah berhubung dakwaan-dakwaan yang dikemukakan Sheikh Muhamad Baderudin dan memohon ia dibuktikan.

"Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakan wallahi, wabillah wa tallahi itu adalah fitnah beliau semata-mata," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Jabatan Mufti Negeri Kedah melalui e-mel dan Facebook bagi mendapatnya ulasan berhubung perkara. Bagaimanapun jawapannya masih belum diperoleh setakat ini.