Bekas ADUN kawasan Jabi, Hassan Said meninggal dunia setelah enam hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Nazirah (HSNZ) Kuala Terengganu kerana terbabit kemalangan jalan raya.

Hassan, 76, atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Hassan menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 8 pagi ini, kata anaknya Bahiah.

Katanya bapanya yang mengalami kecederaan pada paru-paru akibat patah tulang rusuk dalam kemalangan di Km1, Jalan Jerteh-Keruak, Hulu Besut pada Selasa lepas pada mulanya dirawat di Hospital Besut sebelum dirujuk ke HSNZ.

Bahiah, 47, berkata jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Nering di sini selepas Zohor hari ini.

Allahyarham ialah ADUN Jabi dari 1985 hingga 1991.

Sebelum dipilih mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum 1985, Hassan merupakan Penyelia Sekolah-Sekolah Daerah Besut.

- Bernama