Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

ULASAN Muktamar tahunan PAS ke-59 yang berlangsung di Shah Alam telah melabuhkan tirainya.

Kepada yang menang, tanggungjawab dan amanah besar sedia menanti di bahu masing-masing; manakala bagi mereka yang kalah, terusan bekerja dalam perjuangan politik yang tidak pernah selesai.

Namun, dalam menyingkap detik-detik manis dan pahit ketika PAS di ambang dan semasa muktamar tersebut, jelas menunjukkan kecenderungan pimpinan terutama Pemuda untuk 'menyerang' DAP, lebih banyak menghentam rakan sekutunya itu daripada menyerang musuh sebenar, Umno dan BN.

Satu persatu 'serangan' dihalakan ke atas DAP, bermula dari kritikan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh, ugutan keluar dari Pakatan Rakyat sehinggalah menyelar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Antara yang ketara ialah kenyataan bekas naib ketua Dewan Pemuda PAS, Raja Ahmad Iskandar yang memberi tempoh lima hari kepada Pengerusi DAP Karpal Singh untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan.

Kenyataan Raja Ahmad disahut oleh bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mahu Karpal bersikap jujur dan mengakui kesilapan manakala Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Muhammad Hafiz Musa mahu pemimpin DAP sendiri bertindak ke atas Karpal sekiranya pemimpin veteran itu masih enggan memohon maaf.

Tidak cukup dengan itu, Karpal turut dilabel sebagai angkuh dan sombong kerana enggan meminta maaf atas kenyataan kontroversinya semasa sidang akhbar selama 25 minit 47 saat di Pulau Pinang pada 5 November lalu.

Hanya kuasai 3% kerusi

Pada masa yang sama, PAS turut menjadikan kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai 'sasaran' apabila mendakwa mereka hanya sekadar boneka dan dipinggirkan sejak pilihan raya umum (PRU) 2008.

Perwakilan PAS Pulau Pinang, Mohd Raduan Ramli dipetik sebagai berkata: "Ini bukan soal gila kuasa, bukan soal minta jawatan tapi soalnya adalah mereka beri kereta kepada kita dan mereka suruh kita jadi penumpang tapi mereka pegang stereng kereta."

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof pula membidas kerajaan negeri DAP kerana gagal mengamalkan sistem kecekapan, akauntabiliti, ketelusan (CAT) terutamanya dalam pentadbiran hal ehwal Islam dan pelantikan wakil parti sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Bagi mengendalikan 'suara-suara' ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk mengadakan rundingan tertutup dengan pemimpin Pakatan bagi membincangkan kemelut isu dalaman antara parti itu dengan pentadbiran di Pulau Pinang.

Hadi berkata: "Sehingga kini, saya tak jumpa lagi rakan di Pulau Pinang, hanya baca melalui media sahaja. Saya akan jumpa dalam masa terdekat bila dapat penjelasan dan bincang sama-sama dengan Pakatan."

Namun begitu, sebelum 'perbincangan' tersebut dilakukan, wajarlah sekiranya fakta-fakta berikut diamati sedalam-dalam dan dengan penuh rasional berhubung 'layanan' oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada Pas sejak 2008.

Pertamanya, PAS hanya memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam dua PRU sejak 2008 manakala PKR dan DAP masing-masing mempunyai 10 dan 19 kerusi DUN pada PRU yang lalu.

Kalau dari segi peratusan, PAS hanya menyumbang sekitar 3 peratus daripada 30 kerusi milik komponen Pakatan dalam DUN Pulau Pinang.

Berkaitan kontrak Salleh Man?

Bagaimanapun, di sebalik 'kekurangan' PAS ini, kerajaan negeri Pulau Pinang masih mengiktiraf dan menghargai sumbangannya pada PRU yang lalu dan masih berharap PAS akan terus bersama dalam mendepani PRU14.

Buktinya, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dattuk Salleh Man dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk itu oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang hasil daripada keterlibatan PAS bersama Pakatan.

Salleh Man juga diangkat sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) selain turut menjawat kerusi Pengerusi As Sahabah Urus Zakat dan Timbalan Yang Dipertua Lembaga Perpustakaan Pulau Pinang.

Selain Salleh Man, pimpinan PAS Pulau Pinang mendapat lantikan dua kerusi sebagai ahli majlis majlis perbandaran di samping Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar kali ini dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBA).

Atau apakah 'serangan-serangan' sebelum ini ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai perkaitan dengan kontrak Salleh Man sebagai Yang Dipertua MAINPP yang akan tamat pada 31 Disember ini?

Salleh Man sebelum ini mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Yang Dipertua MAINPP untuk tempoh dua tahun iaitu daripada Januari 2012 sehingga 31 Disember 2013.


AMRAN AHMAD merupakan ahli seumur hidup DAP sejak 2009 dan pernah berkhidmat sebagai pegawai khas ketua menteri Pulau Pinang. Anak bekas naib pengerusi DAP allahyarham Ahmad Nor itu melihat slogan "Berani Ubah" mesti bermula dari dalam parti itu sendiri.