Apa yang ofensif sangat tentang jadi 'seperti ahli politik Umno'?
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Chong Chieng Jen yang digantung daripada menghadiri sidang dewan kerana mengatakan bahawa Menteri Pelancongan negeri, Datuk Abang Johari Openg seperti 'ahli politik Umno', mahu tahu apa yang ofensif sangat tentang istilah tersebut.
Chong juga ingin tahu mengapa Abang Johari tidak mahu menyokong resolusinya sebagai syarat untuk beliau menarik balik kenyataannya itu.
Dua resolusi yang dicadangkan oleh Chong untuk diluluskan oleh DUN Sarawak ialah Umno tidak baik dan Sarawak tidak mengalu-alukan Umno, manakala yang lain ialah kerajaan negeri akan memastikan Umno tidak dibenarkan menubuhkan cawangan di Sarawak.
Dalam perbahasan belanjawan Jumaat lepas, Chong, yang
merupakan ADUN Kota Sentosa, berkata menteri berkenaan (kiri) lebih seperti seorang ahli politik Umno.
Chong berkata, beliau meletakkan dua syarat untuk menarik balik kenyataannya ialah kerana mendakwa terdapat kebimbangan yang wajar bahawa Abang Johari akan membawa Umno ke Sarawak.
"Kita tahu Abang Johari telah lama mempunyai hubungan yang rapat dengan Umno. Beliau mempunyai banyak sokongan dari Umno.
"Kebimbangannya ialah jika beliau memegang jawatan tertinggi (ketua menteri), beliau akan membawa Umno ke Sarawak. Oleh itu, apabila beliau tidak berani menyokong resolusi saya, maka mesti ada sesuatu di belakangnya ," kata Chong.
Ketika menjelaskan penggantungannya itu kepada media, Chong berkata lambat laun akan terdapat perubahan kepimpinan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan orang yang kemungkinan besar menggantikan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah Abang Johari yang kini merupakan timbalan presiden PBB.

