Anggota Parlimen pembangkang mahu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan tentang kenaikan cukai taksiran yang dianggap mengelirukan Dewan Rakyat semalam.
Lim Lip Eng (DAP-Segambut) membuat usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana kenyataan Loga Bala yang bertentangan dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Timbalan menteri wilayah sahkan (kenaikan cukai) tak akan dilaksana sehingga selesai perbincangan pada Mac tahun depan.
"Tetapi pagi ini bos dia keluarkan kenyataan media kata sah, kenaikan cukai akan dilaksana bulan Januari," katanya dalam Dewan Rakyat petang tadi.
Loga Bala semalam mengesahkan kenaikan cukai itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mendengar bantahan orang ramai dari Januari sehingga Mac.
Namun pagi ini, Tengku Adnan dilaporkan berkata yang kenaikan itu tetap akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.
Dalam sidang media kemudiannya, Lim menggesa agar Tengku Adnan dan Loga Bala berhenti mengeluarkan kenyataan itu dan memberi laluan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memberi sebarang kenyataan tentang kenaikan cukai taksiran itu pada masa akan datang.
"Kalau diikutkan, hanya Datuk Bandar, dan bukannya menteri atau timbalan menteri yang boleh membuat keputusan tentang cukai.
"Ini adalah pengulangan peranan dan perebutan kuasa.
"Saya mahu menteri dan timbalan menteri untuk tutup mulut," katanya.
