Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN BN: Kenaikan gaji MB, speaker tak munasabah

Beberapa anggota pembangkang Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menganggap sebagai tidak munasabah kenaikan gaji termasuk elaun menteri besar, speaker dan timbalan speaker seperti yang diputuskan sidang dewan semalam.

Mereka menyifatkan kenaikan itu sepatutnya perlu dikaji secara mendalam sebelum ia diputuskan kerana peratusan kenaikan itu terlampau tinggi bagi ketiga-tiga jawatan berkenaan.

Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker DUN mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.

"Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji Speaker DUN yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan.

"Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di Shah Alam.

Semalam, Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 diluluskan persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk membolehkan kenaikan gaji menteri besar, exco dan Adun, dengan timbalan speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata peratusan kenaikan gaji itu sepatutnya diselaraskan dan bukan hanya untuk menteri besar, speaker dan timbalan speaker.

"Melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya, kalau semua naik, maka peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan" katanya.

Namun, Johan bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini yang mendapat pertambahan 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan kerana sebahagiannya mungkin dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahan kenaikan gaji beliau, anggota exco, speaker dan timbalan speaker yang dianggap masih rendah dan munasabah.

Beliau berkata kenaikan gaji antara 80 hingga hampir 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima Adun serta anggota pentadbiran negeri Sarawak.

-Bernama

ADS